KOTA BELUD: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak, terutama dalam arena pendidikan asas.
ADUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yakin anak-anak yang mendapat pendidikan asas berkualiti akan terus berjaya dalam pelajaran yang akan dilalui di peringkat yang lebih tinggi.
Bagi mencapai misi itu, beliau berkata
KEMAS melaksanakan beberapa strategi teras selaras dengan hala tuju pendidikan awal kanak-kanak, sekali gus menjadikan tabika sebagai sebuah institusi yang unggul.
Menurut Salleh, strategi teras pertama ialah akses pendidikan berkualiti iaitu meningkatkan kadar enrolmen kanak-kanak, meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak dan membudayakan kreativiti dan inovasi.
Â
Katanya strategi lain ialah mewujudkan infrastruktur yang kondusif dan selamat, termasuk menaik taraf Tabika dan Taska KEMAS serta mewujudkan pangkalan data bangunan yang cekap.
Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika dan Taska KEMAS daerah Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said dekat sini hari ini.
Menurut Salleh, fenomena revolusi industry 4.0 turut memberi tempias kepada KEMAS bagi memastikan kelestarian pendidikan awal kanak-kanak di KEMAS terus releven serta seiring dengan hasrat Kerajaan melahirkan modal insan berkemahiran digital.