Proaktif mencari solusi tuntutan 40 peratus lebih baik daripada ‘menyalak secara kosong’ – Pemuda UPKO Penampang

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang Billy Joe Dominic berkata, ramai pemimpin Sabah menganggotai Kabinet Persekutuan sebelum ini tetapi tiada solusi penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil persekutuan di Sabah.

Advertisements

Beliau berkata, ramai yang lantang bersuara dalam media sosial, surat khabar dan kedai-kedai kopi tetapi tidak ada satu pun yang tampil mengemukakan cadangan mekanisme pembayaran kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Sebab itu sebagai Presiden UPKO serta anggota Kabinet Persekutuan yang juga anggota Majlis Tindakan Penyelesaian Perjanjian Malaysia (MTPMA63), Ewon terpanggil untuk mengambil inisiatif mencari mekanisme pembayaran dengan mengadakan perbincangan meja bulat bersama para pemimpin Sabah yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang berkaitan dengan perkara ini.

“Pembayaran semula 40 peratus tersebut melibatkan isu percukaian, hasil, perakaunan dan pengauditan yang sangat teknikal. Perkara ini diakui sendiri oleh mereka yang berada dalam profesion perakaunan dan perundangan. Saya hadir dalam perbincangan meja bulat tersebut dan saya mendengar mereka yang pakar dalam perkara ini.

“Justeru, perbincangan meja bulat pada 19 Disember lalu bertujuan untuk membantu Kerajaan Negeri mengemukakan mekanisma terbaik pembayaran 40 peratus hasil persekutuan dari Sabah kerana tuntutan pembayaran harus dibuat oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Persekutuan memberikan tempoh sehingga Julai tahun ini untuk kita kemukakan mekanisme pembayaran tuntutan 40 peratus. Kita tidak boleh ‘duduk berdiam’ menunggu sehingga Julai atau menyalak di media seperti yang dilakukan oleh Henrynus tetapi perlu mengambil inisiatif bagi memastikan tuntutan itu berhasil.

“Ini adalah inisiatif UPKO sendiri sebagai antara parti tempatan di Sabah yang mahu penyelesaian ke atas tuntutan hak ini. Ini hanya cadangan bagi pihak Ewon dan UPKO. Sekiranya ada pihak lain yang ingin mengemukakan cadangan lain mengenai perkara itu, kita alu-alukan dan kemukakan kepada Kerajaan Negeri supaya mereka boleh membincangkan cadangan-cadangan itu dalam mesyuarat Kabinet Negeri sebelum diangkat ke perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) Datuk Henrynus Amin yang disiarkan di Daily Ecpress, hari ini.

Billy turut mencabar Henrynus untuk tampil mengadakan inisiatif sendiri untuk mencari penyelesaian perkara yang diwarisi oleh generasi muda kepimpinan Sabah hari ini.

“Saya dan Pemuda UPKO ingin tanya apa yang Henrynus sudah buat selain menyalak secara kosong di media?Menyalak kosong seperti Henrynus banyak orang yang boleh buat, tapi mengambil inisiatif, tampil dengan cadangan dan usahakan penyelesaian seperti yang dibuat Ewon tidak ramai yang mahu buat” katanya.

“Daripada melihat secara negatif inisiatif yang diambil oleh Ewon, adalah lebih baik Henrynus adakan inisiatif beliau sendiri. Jika perkara ini begitu mudah untuk diselesaikan, ianya sudah diselesaikan semasa Henrynus menjadi Ahli Parlimen Kinabalu dahulu. Tapi saya amat yakin sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen, beliau tidak pernah bangkitkan dan cari inisiatif ketika itu.

“Ewon dan kepimpinan muda Sabah hari ini mewarisi masalah yang gagal dilaksanakan selama ini. Tapi beliau mengambil inisiatif dan tahu bagaimana inisiatif itu perlu dikemukakan. Saya mengajak semua generasi muda Sabah mendukung usaha pro-aktif yang diambil oleh Ewon dan Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengenai tuntutan ini.

“Saya ingin beritahu Henrynus bahawa Ewon selaku Presiden UPKO tidak akan terkesan dengan pandangan negatif beliau. Ewon tahu apa yang dia sedang laksanakan. Saya ingin nasihatkan Henrynus untuk fokus mengenai perjuangan penyelesaian perkara ini, bukan untuk burukkan pemimpin yang sedang berjuang mencari penyelesaian,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles