SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, menzahirkan rasa kecewa dengan jawapan bertulis berkenaan status projek pembaikan Jalan Jambatan Merah, Batu 1 1/2, Sandakan yang dikategorikan projek sakit tidak dinyatakan secara terperinci selepas soalan itu dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Belas Parlimen di Dewan Negara Tahun 2026.
Jelasnya, jawapan yang di perlukan termasuk mengenai kos, peruntukan dan bayaran kontraktor, punca kelewatan, peruntukan diperlukan dalam Belanjawan 2027 serta tarikh projek dijangka siap dan dibuka sepenuhnya kepada pengguna.
Beliau menganggap maklum balas kementerian terlalu sambil lewa dan gagal menjawab secara serius serta menyeluruh beberapa persoalan penting yang dibangkitkannya di Parlimen.
Beliau berkata, ketika mengemukakan pertanyaan, beliau telah meminta Kementerian Kerja Raya memberikan penjelasan terperinci mengenai punca kelewatan projek itu.
Namun, pihak kementerian hanya memaklumkan mengenai penamatan kontrak dan proses tender semula, manakala persoalan-persoalan penting yang lain tidak diberikan jawapan khusus.
Vivian menegaskan bahawa kelewatan berulang dalam projek pembinaan semula dekat jalan Jambatan Merah itu di sini telah lama menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sandakan.
Ramai pengguna jalan raya berasa marah kerana projek tersebut masih belum disiapkan, dan beliau sendiri turut berasa amat marah serta kecewa dengan keadaan itu.
“Projek ini sudah tertangguh begitu lama dan rakyat terus menunggu penjelasan yang jelas.” Ujarnya.
“Namun, Kementerian Kerja Raya gagal menjawab dengan lengkap soalan-soalan yang saya kemukakan di Parlimen.” Tambahnya.
Jawapan seperti ini sememangnya sukar diterima.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Sandakan tidak memerlukan alasan yang berulang-ulang mengenai kelewatan projek, sebaliknya mahukan perkembangan kerja yang jelas, tarikh penyiapan yang pasti dan tindakan sebenar.
Kementerian Kerja Raya perlu mengambil serius rasa tidak puas hati rakyat dan tidak boleh terus membiarkan pengguna jalan raya menunggu tanpa penghujungnya.
Memandangkan projek pembinaan semula Jambatan Red Bridge telah dikategorikan sebagai projek sakit, pihak berkuasa sepatutnya menjelaskan secara terbuka masalah yang dihadapi serta langkah penyelesaian yang akan dilaksanakan.
Vivian menegaskan bahawa jalan Jambatan Merah ini merupakan salah kemudahan laluan penting di Sandakan.
Kelewatan projek yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan perjalanan harian pengguna jalan raya, malah turut menimbulkan persoalan mengenai pengurusan projek dan kecekapan pelaksanaannya.
Oleh itu, beliau berkata, pihak berkuasa tidak boleh sekadar menjadikan proses tender semula sebagai jawapan kepada rakyat, sebaliknya perlu mengemukakan jadual kerja susulan dan tarikh penyiapan yang jelas.
Beliau turut memaklumkan bahawa dalam sesi perbahasan Parlimen yang akan datang, beliau akan terus membangkitkan isu kegagalan pihak kementerian memberikan jawapan lengkap terhadap pertanyaan Parlimennya, selain mengkritik kelewatan berpanjangan projek pembinaan semula jalan itu.
Beliau juga akan mendesak Kementerian Kerja Raya supaya menangani perkara itu dengan serius dan memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada rakyat Sandakan.
Katanya, dengan kontrak asal yang telah ditamatkan, Kementerian Kerja Raya perlu mengambil iktibar daripada kelewatan projek sebelum ini dan memperketat pemantauan terhadap kemajuan kerja kontraktor baharu bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan selepas disambung semula, sekali gus mengelakkan masalah yang sama berulang.
Terdahulu, dalam soalan lisan kepada Kementerian Kerja Raya, Vivian bertanya mengenai status projek pembaikan Jalan Jambatan Merah, Batu 1 1/2, Sandakan yang dikategorikan projek sakit termasuk kos, peruntukan dan bayaran kontraktor, punca kelewatan, peruntukan diperlukan dalam Belanjawan 2027 serta tarikh projek dijangka siap dan dibuka sepenuhnya kepada pengguna.
Dalam jawapan kementerian kepada beliau, projek yang dinyatakan adalah merujuk kepada Projek Menggantikan Jambatan KM 295.56, Jalan
Tamparuli – Sandakan, Sandakan (FS022/295/56).
Dalam hal ini, adalah dimaklumkan bahawa projek pembaikan Jalan Jambatan Merah, Batu 1 1/2, Sandakan telah ditamatkan pada 01 Oktober 2025.
Manakala status terkini projek itu adalah melibatkan proses perolehan tender semula dan dijangka pelantikan kontraktor penyiap dapat dimuktamadkan pada Disember 2026
Bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan kerja yang seterusnya, pada masa ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah
melaksanakan Traffic Management Plan (TMP) dan skop kerja
penyenggaraan rutin hingga kontraktor baharu dapat dilantik kelak.