KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan berusaha membantu menyediakan rumah untuk penduduk Kampung Lok Urai, Pulau Gaya dekat sini yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran pada Khamis lepas.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata sehubungan itu kajian akan dilakukan untuk membangunkan semula kawasan kampung itu bagi memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada mangsa dan keluarga mereka.
“Kerajaan akan melihat macam mana kita membantu mereka kerana yang terlibat ini adalah rakyat Malaysia negeri Sabah, jadi kita akan mencari jalan untuk membantu mereka supaya mereka dapat tinggal seperti biasa di rumah-rumah dengan keluarga mereka.
“Kita akan melihat perkara ini …kita akan kaji keadaan di kawasan itu dan juga kependudukan di sana,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Sembulan di sini hari ini.
Sempena lawatan itu beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 65 ketua keluarga mangsa kebakaran selain bantuan yang turut diberikan kepada semua keluarga yang terlibat dengan kejadian tersebut.
Kejadian kebakaran pada Khamis itu menyebabkan 200 penduduk kampung hilang tempat tinggal apabila 73 buah rumah di atas air musnah sepenuhnya, manakala 757 kediaman sempat diselamatkan dengan tindakan pantas pasukan bomba.
Seorang mangsa kebakaran Sillia Comesendo, 43, berkata bantuan itu penting kerana ia dapat meringan beban yang ditanggungnya terutamanya memastikan empat anaknya dapat meneruskan persekolahan mereka.
“Banyak terima kasih sama kerajaan, NGO (badan bukan kerajaan)…tetapi saya harap kalau boleh kami betul-betul lah memerlukan itu rumah, anak saya sekolah empat orang, tiga sekolah rendah dan satu orang sekolah menengah ada sebelum ini dapat bantuan baju sekolah saja sama buku jugalah,” katanya.
Seorang lagi mangsa kebakaran Ibrahim Ahmad, 73, berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan dan NGO kerana bantuan tersebut dapat membantu beliau serta keluarga untuk meneruskan kehidupan.
“Saya terima kasih sama itu orang yang bagi kami bantuan…duit tinggal ini (duit bantuan) saja, saya terima kasih kepada orang siapa-siapa yang bagi bantuan sama kami, syukur,” katanya. — BERNAMA