KIULU: Seramai 14 belia dan beliawanis dari lima kampung telah menyertai Kursus Pertanian Lestari dan Kompos selama 5 hari di Kampung Lingga, dekat sini.
Kursus anjuran University College Sabah Foundation (UCSF) itu merupakan sebahagian daripada latihan di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN).
Kursus yang bermula dari 18 hingga 22 September 2023 itu disertai oleh peserta dari Kampung Lingga, Kampung Mantob, Kampung Tulung, Kampung Sinorut dan Kampung Dumpiring.
Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris yang menghadiri majlis penutupan kursus itu, menyampaikan sijil tamat kursus kepada para peserta.
Turut hadir ialah Pegawai Teaching and Learning Factory (TLF) UCSF, Puan Nurul Fatihah.
Dr Rafiq Idris menegaskan bahawa ‘UCSF sentiasa komited dalam menganjurkan program berimpak tinggi di bawah PKAN.
“Program yang memberi manfaat kepada komuniti di Sabah akan terus dianjurkan di tempat-tempat lain negeri ini”, katanya.
Sementara itu Nurul, berharap kursus jangka pendek ini dapat diperluaskan ke seluruh daerah di Sabah tahun hadapan agar dapat memberi manfaat kepada komuniti B40, sekaligus mengenali UCSF dengan lebih dekat.
Sementara itu menurut peserta kursus, Nicholas Donius, program ini sangat bermanfaat kerana banyak perkara baru dapat dipelajari dan mudah dipraktikkan.
Bagi Roselyn Morelin pula, beliau tidak akan membuang sisa makanan begitu saja kerana ianya boleh dikomposkan menjadi baja untuk kegunaan pertanian.
Dengan adanya baja kompos itu, beliau juga akan menanam lebih banyak sayuran untuk menjana pendapatan.
Beberapa peserta lain yang turut berkongsi pengalaman menghadiri kursus tersebut berpandangan bahawa pertanian kompos ini sangat mudah dibuat menggunakan sisa makanan dari rumah.
Mereka juga menyatakan tidak akan membuang sisa makanan lagi, sebaliknya boleh membuat kompos sebagai baja kepada tanaman mereka kelak.
“Dengan hasil yang diperolehi kelak akan digunakan untuk membantu keluarga, dan berharap kursus lanjutan dapat diadakan pada masa akan datang. Terima kasih kepada UCSF yang menganjurkan program PKAN” , kata seorang lagi peserta kursus.