Suhaimi tidak bersetuju MPS naikkan kadar bayaran cukai pintu

SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhami Nasir tidak bersetuju dengan keputusan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menaikkan kadar bayaran cukai pintu bermula tahun depan.

Advertisements

Menurut beliau MPS sepatutnya meningkatkan dahulu perkhidmatan mereka kepada pembayar cukai pintu di daerah ini sebelum memutuskan menaikkan kadar bayaran cukai pintu.

Katanya ketika ini perkhidmatan MPS kepada pembayar cukai pintu masih rendah khususnya berkaitan parit yang tidak diselenggara menyebabkan tersumbat, rumput lambat dipotong, jalan raya taman perumahan berlubang serta rosak dan kutipan sampah yang lambat khususnya di taman-taman perumahan.

“Sebagai ahli parlimen, saya sering mengutarakan masalah-masalah ini kepada pihak berwajib di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Dewan Rakyat tetapi masih tidak dapat ditangani dengan baik oleh MPS.

“Tiba-tiba MPS mahu menaikkan kadar bayaran cukai pintu bermula tahun depan.. dari 20% hingga 30% , sudah tentu penduduk di daerah termasuk saya sendiri menentang kenaikan kadar bayaran cukai pintu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Notis kenaikan bayaran cukai pintu oleh MPS itu yang bertarikh 14 Ogos 2023 kini viral dan mendapat respon penduduk daerah ini yang rata-rata tidak bersetuju.

Bagi mereka, MPS perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pembayar cukai pintu sebelum memutuskan untuk menaikan kadar bayaran.

Suhami sendiri sebelum ini pernah mengutarakan masalah kerosakan jalan raya di beberapa kawasan taman perumahan di daerah ini termasuk jalan di rumahnya Taman Sejati Ujana Batu 7 tidak diselenggara sejak 15 tahun dan jalan di bangunan kedai Taman Hing Wah Batu 8 yang mengalami kerosakan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah menyifatkan keputusan MPS menaikkan kadar bayaran cukai pintu pada tahun depan itu akan turut membebankan pembayar cukai pintu di daerah ini.

Katanya bukan semua pembayar cukai pintu ini mereka yang dalam golongan berkemampuan dan ada diantara mereka bekerja keras untuk membuat bayaran setiap tahun.

“Ketika rakyat negeri ini dibebani dengan kenaikan barangan makanan dan terkini beras..MPS pula menaikkan kadar bayaran cukai pintu.

“Ini bukan satu keputusan baik untuk MPS meningkatkan hasil kutipan mereka dengan membebankan pembayar cukai pintu,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau juga mempertikaikan tindakan MPS mengenakan bayaran yuran bantahan RM5 bagi mereka yang ingin mengisi borang bantahan yang MPS sediakan.

Katanya dengan mengenakan bayaran yuran bantahan ini tidak menggalakkan orang ramai untuk membuat bantahan terhadap kenaikan kadar bayaran cukai pintu ini.

Justeru itu, beliau mahu Kerajaan Negeri khususnya Menteri bertanggungjawab di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Joachim Gunsalam mengambil perhatian perkara ini kerana keputusan dibuat MPS ini membebankan rakyat yang tidak selari dengan perjuangan Kerajaan Negeri menjaga kebajikan rakyat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles