KDM seru orang Sabah menetap di Pulai, Simpang Jeram sokong calon kerajaan

KOTA KINABALU: Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony menyeru rakyat Sabah yang kini menetap di Johor, khususnya di kawasan Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram supaya memberi sokongan kepada calon dari Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), esok.

Advertisements

Katanya, kemenangan calon dari kerajaan sangat penting bagi meneruskan agenda pembangunan di kawasan berkenaan, terutama yang telah dicetus penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, perancangan untuk memelihara kebajikan dan meningkatkan sosioekonomi penduduk di dua kawasan berkenaan perlu diteruskan dan hanya menerusi wakil rakyat daripada kerajaan ianya dapat dilakukan.

“Seperti kita sedia maklum, 9 September ini merupakan hari pengundian bagi PRK di Parlimen Pulai serta Simpang Jeram dan kita juga tahu begitu ramai sekali orang Sabah yang telah menetap di Johor termasuklah di Pulai.

“Saya percaya, rakyat kita (Sabah) yang telah menetap di Johor bijak untuk memilih dan pastinya mereka mahukan pemimpin yang bukan daripada parti sering memainkan isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja).

“Pilihlah pemimpin yang mampu membawa kesinambungan terhadap pembangunan di kawasan masing-masing, kita tahu Allahyarham (Salahuddin) yang terkenal dengan inisiatif menu rahmah bukan saja banyak berbakti kepada rakyat seluruh negara, tetapi juga di kawasan diwakili sebelum ini.

“Berilah sokongan kepada calon kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia pada Sabtu ini, demi kesetabilan politik dan pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Peter berkata, tindakan sesetengah pemimpin politik, terutama daripada pembangkang yang sering memainkan isu 3R tidak boleh diterima sama sekali di Sabah.

Beliau juga yakin, orang Sabah yang telah menetap di Semenanjung khususnya di Johor juga tidak boleh menerima ‘permainan sentimen’ oleh pembangkang.

“Sebelum ini ketika pilihan raya di enam negeri, saya telah bertemu dengan ramai orang Sabah terutama yang telah menetap di Selangor.

“Mereka memberitahu, semangat perpaduan di kalangan mereka begitu utuh walaupun tinggal di perantauan, sama seperti ketika berada di Sabah.

“Mereka mahukan suasana harmoni sama seperti di negeri asal mereka, suasana yang tidak mempunyai masalah berkaitan bangsa dan agama sejak sekian lama,” katanya.

Johor merupakan negeri yang mempunyai populasi rakyat Sabah terbanyak selain Selangor.

PRN ini diadakan susulan kematian penyandang kedua kerusi berkenaan iaitu Salahuddin pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, merupakan Timbalan Presiden Amanah, penyandang kedua-dua kerusi berkenaan buat kali kedua, yang juga satu-satunya kerusi Amanah di Johor.

Parlimen Pulai menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan Pakatan Harapan (PH) meletakkan bekas speaker DUN, Suhaizan Kayat, Perikatan Nasional (PN) diwakili Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

Sementara itu, kerusi DUN Simpang Jeram bakal memperlihatkan saingan antara calon PH iaitu, Nazri Abdul Rahman, calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas, S Jeganathan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles