PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menyantuni penduduk di Kampung Moyog dan Kg.Kibunut, selepas menghadiri misa kudus di Gereja Katolik St.Martin Moyog, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk di dua kampung itu sambil mendengar permasalahan dan keperluan mereka.
Di Kg.Moyog, penduduk kampung memohon peruntukan penyelenggaraan Gereja St.Martin, pembaikan tanah runtuh berdekatan Dewanraya kampung itu dan juga jambatan.
Dalam pertemuan itu, Ewon menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk pembangunan tabung Gereja St.Martin Moyog.
Manakala di Kampung Poropok dan Kg.Kibunut pula, Ewon bersetuju menyalurkan peruntukan pembaikan dan penyelenggaraan paip graviti di kedua-dua kampung itu dan sumbangan untuk Gereja St.Stephen Kibunut menggunakan peruntukan Ahli Parlimen.
Beliau juga bersetuju menyalurkan peruntukan pembinaan sebuah dewan Kg.Poropok dengan anggaran RM150,000 awal tahun depan.
Dalam pertemuan santai bersama penduduk dan pemimpin Kg.Poropok dan Kg.Kibunut, pelbagai isu dikemukakan antaranya isu Hutan Simpan, di mana sebahagian kawasan perkampungan Kg Poropok Ulu Kibunut termasuk dalam kawasan Hutan Simpan.
Ewon berkata, sejak menjadi wakil rakyat Penampang pada Disember 2023, isu berkaitan tanah di tiga kampung iaitu Kg.Sugud, Kg.Togudon dan Kg Babagon berjaya diselesaikan.
“Penduduk Kg.Sugud dan Kg.Babagon memohon supaya Tanah Rezab Padang Ragut di kampung itu ditukar kepada rezab tanah kampung.
“Manakala penduduk Kg.Togudon memohon supaya isu pemilikan geran tanah diselesaikan. Penyukatan tanah melalui program PANTAS kini sedang dilaksanakan di kampung itu,” katanya.