KOTA KINABALU – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meluaskan kerjasama luar negara dengan menandatangani Surat Niat (LoI) bersama Fakultas Ekonomi (FE), Universitas Borneo Tarakan (UBT), baru-baru ini.
LoI tersebut ditandatangani pada seminar ‘Borneo International Conference of Management, Accounting and Economy (BICMAE 2023)’ bersempena penganjuran Seminar dan Pengabdian Kepada Komuniti (PKM) Internasional di Universitas Borneo Tarakan, Indonesia.
Pada majlis menandatangani LoI itu, UMS diwakili oleh Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim manakala FE diwakili oleh Dekan, Dr. Syahran sambil disaksikan oleh wakil Gabenor Kalimantan Utara, Dr. Bustan dan wakil Rektor Bidang Kemahasiswaan, Perencanaan dan Kerjasama UBT, Dr. Ir. M. Djaya Bakri.
Djaya berkata LoI yang ditandatangani itu membuka peluang kepada kedua-dua institusi untuk menjalankan kolaborasi antarabangsa dalam bidang akademik, penyelidikan dan khidmat komuniti.
Seramai 150 peserta daripada 30 universiti seluruh Indonesia yang menganggotai Aliansi Program Studi Manajeman dan Bisnes Indonesia (APSMBI) menyertai seminar tersebut yang dirasmikan oleh wakil Gabenor Kalimantan Utara, Dr. Bustan S.E.
Pada seminar itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah) FPEP, Dr. Noor Fzlinda Fabeil turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Digital and Green Economy: New Directions for Malaysian SMEs”.
Sementara itu, Wali Kota Tarakan, Dr. Khairul M. Kes berkata, pihaknya percaya kerjasama seumpama ini akan menghasilkan penyelidikan merentas sempadan yang berimpak tinggi yang dapat menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi kepada wilayah bersempadan dalam Kepulauan Borneo dan Kalimantan.
Terdahulu, FPEP UMS dan FE UBT telah mengadakan beberapa aktiviti kolaborasi melalui penerbitan bersama dan turut menyertai program khidmat komuniti bersama usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di perbatasan Malaysia-Indonesia yang diadakan pada hari ke-2 seminar tersebut di Pulau Sebatik.
Turut hadir, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPEP UMS, Profesor Madya Dr. Suddin Lada dan Ketua Unit Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan UMS, Profesor Madya Mat Salleh Ayub.
Sepanjang lawatan tersebut, UMS turut menerima pelawaan dari pelbagai universiti di Indonesia pada seminar tersebut untuk mengadakan kolaborasi strategik.