TAMBUNAN: Kampung Kumawanan Tambunan merupakan lokasi ketiga pelancaran Wifi Connect Me atau dikenali sebagai ‘Terminal Aperture Sangat Kecil (VSAT)’.
Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, sebelum ini kementeriannya sudah memasang VSAT di dua lokasi berlainan iaitu melibatkan Kampung Waluhu Ranau serta Kampung Gana Papar.
Katanya, langkah pemasangan VSAT ini merupakan kajian awal bagi mengenalpasti keberkesanan penerimaan talian internet khususnya di kawasan luar bandar.
“Alhamdulillah kita melihat penduduk di Kampung Kuwawanan Tambunan sangat gembira apabila mendapat liputan internet yang sangat dinantikan khususnya bagi kegunaan semua peringkat.
“Pihak kementerian masih menjalankan kajian keberkesanan pemasangan sistem VSAT ini. Sekiranya ianya banyak membantu kita akan meneruskan pemasangan di beberapa kawasan yang sudah dikenalpasti di seluruh negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan pemasangan VSAT di Kampung Kumawanan, di Tambunan hari ini.
Yakub berkata, setakat ini pihaknya mengenalpasti terdapat sejumlah 888 pusat yang memerlukan perkhidmatan di seluruh negeri Sabah.
Langkah pemasangan ini merupakan penyelesaian jangka masa pendek bagi memastikan kawasan di luar bandar dapat menikmati kemudahan talian internet sebelum pelaksanaan projek projek pembangunan di bawah Jaringan Digital Nasional (JENDELA).
“ JENDELA akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah program penyediaan perkhidmatan sejagat serta secara komersial bermula pada tahun 2020 sehingga 2022,”katanya.