KOTA KINABALU: Tindakan membuat kenyataan prejudis terhadap warga serta negeri Sabah dan Sarawak bukan suatu yang bijak kerana ia akan mencetuskan kemarahan serta mengakibatkan kebencian.
Ia juga menggambarkan ketidakmatangan individu tersebut serta boleh dianggap berniat jahat.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah Dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, walaupun kenyataan tersebut dibuat di media sosial dan bersifat pandangan peribadi namun mengambilkira khalayak yang berpotensi membacanya, semua kenyataan perlu dipertanggungjawabkan kepada pemilik media sosial tersebut.
“Kita amat kesal dengan kenyataan seorang wanita di media sosial miliknya baru-baru ini kerana telah memperlekehkan warga Sabah dan Sarawak. Sekiranya benar individu tersebut adalah seorang peguam, sepatutnya dia lebih memahami batas ketika melontarkan pendapat kerana kebebasan bersuara ada hadnya.
“Kenyataan prejudis bukanlah satu opsyen kerana warga Sabah dan Sarawak juga sebahagian daripada rakyat negara ini sama seperti warga Semenanjung Malaysia. Menghina warga Sabah dan Sarawak samalah seperti menghina diri sendiri. Individu sebegini kurang sesuai menjadi rakyat Malaysia kerana tiada jatidiri dan perlu diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaki yang juga bekas penjawat awam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dibuat oleh seorang wanita dikenali sebagai ‘Asiah Abd. Jalil’ di media sosial miliknya yang prejudis terhadap rakyat serta negeri Sabah dan Sarawak.
Kenyataan yang tular tersebut menerima kecaman bukan hanya daripada warga Sabah dan Sarawak malah Semenanjung.
“Perlu diingat, kepimpinan jabatan serta agensi negeri dan persekutuan di Sabah serta Sarawak tidak terikat dengan pelaksanaan agenda mengikut komposisi negeri, ras maupun agama tetapi lebih kepada pematuhan arahan semasa.
“Pada masa yang sama, telah ramai anak Sabah dan Sarawak yang diberikan peluang menjawat jawatan penting di seluruh negara. Ia bukan sekadar untuk memperkasakan semangat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 tetapi merupakan bukti bahawa anak-anak Sabah dan Sarawak juga memiliki kreadibiliti yang sama dengan anak Semenanjung.
“Pun begitu, usaha untuk terus memperkasakan ‘borneonesasi’ perlu diteruskan supaya anak Sabah dan Sarawak mendapat peluang yang lebih untuk menjawat jawatan utama di negeri sendiri. Masih wujud ‘kelompangan’ yang perlu diperbaiki tetapi keadaannya tidaklah seteruk sepertimana yang dipublisitikan oleh pihak berkenaan.
“Individu tersebut didesak membuat kenyataan maaf kerana telah mengguris perasaan rakyat Sabah dan Sarawak. Sekiranya gagal menarik balik kenyataannya, pihak berkuasa digesa mengambil tindakan sewajarnya sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak mengulangi tindakan yang sama pada masa hadapan,” katanya.