KOTA KINABALU : Jabatan Pendidikan khususnya di peringkat daerah harus mengambil serius dan bertindak segera bagi memenuhi keperluan serta aspek pembangunan yang mendesak di sekolah-sekolah yang dibangkitkan oleh pihak sekolah, ibu bapa murid, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat setempat.
Focal person Kebangsaan Kementerian Pendidikan bagi Kumpulan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta di Sabah, Mohammad Arif Tun Sakaran berkata seringkali pihak
sekolah terpaksa bergantung harap kepada PIBG untuk mendapatkan keperluan tertentu sedangkan PIBG mempunyai kemampuan yang terhad dari segi kewangan.
Focal person adalah sukarelawan yang berperanan membantu Kementerian Pendidikan dalam usaha mentransformasikan pendidikan melalui penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta.
Katanya keperluan menambah baik dan memulihkan kemudahan di sekolah-sekolah adalah penting untuk diberikan keutamaan agar pelajar mendapat pendidikan
secara holistik dalam suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif serta pengurusan sekolah yang cekap.
“Segala keperluan untuk menambah baik serta memulihkan kemudahan di sekolah-sekolah yang memang kalau kita lihat agak terdesak, perlu diberikan keutamaan untuk tindakan selanjutnya bagi memastikan keselesaan dan kemenjadian pelajar yang lahir daripada kemudahan infrastruktur yang selesa di sekolah-sekolah.
“Apabila laporan berhubung keperluan menambah baik kemudahan dan aspek pembangunan di sekolah,
telah dilengkapkan, memang pihak sekolah akan melaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan selanjutnya.
“Saya pun akan berusaha juga untuk mencari jalan bagaimana aspek pembangunan di sekolah-sekolah dapat disegerakan,” katanya.
Mohammad Arif berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan di sini, siang tadi.
Sebelum itu,Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Sembulan
Salleh Dualin, mengutarakan isu keselamatan dan keselesaan murid-murid dan ibu bapa berikutan tiada laluan khas untuk pejalan kaki ke sekolah berkenaan.
“Keadaan depan sekolah ini tidak ada laluan pejalan kaki untuk murid-murid dan ibubapa hantar budak sekolah kan. Dan untuk makluman, di sini antara 80 ke 95% adalah penduduk Kampung Sembulan dan sekitarnya dan terpaksa berjalan kaki melalui jalan hadapan sekolah untuk masuk ke kawasan sekolah.
“Laluan di luar digunakan kereta untuk parkir dan tidak ada laluan pejalan kaki yang mengundang risiko kemalangan jalanraya. Oleh itu kita memohon kepada pihak kerajaan dan pihak berwajib agar memandang serius hal sebegini,” tegasnya.
Salleh turut meminta pihak berwajib untuk memperbaiki kemudahan di sekolah seperti tandas demi mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif.
Sementara itu, dalam ucapannya di majlis ini, Mohammad Arif mengingatkan warga sekolah agar melibatkan persatuan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam penganjuran program ke arah memperkasa pendidikan sekolah.
Katanya selaku Focal Person Kebangsaan bagi negeri Sabah, beliau bersedia membantu guru dan pihak sekolah demi memastikan kejayaan pelajar dapat direalisasikan bersama.
“Bagi menjayakan hasrat kerajaan yang ingin melihat generasi membangun dari aspek pemikiran, satu kerjasama melibatkan semua pihak dan komuniti perlu dilaksanakan tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan kaum.
“Jika diamati tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Insani Pemangkin Generasi Madani, maka sebagai warga pendidik, tuan-tuan dan puan-puan mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membimbing anak bangsa menjadi insan yang berguna dan dapat memberi sumbangan kepada negara.
Katanya, warga pendidik adalah agen yang memainkan peranan penting menjalankan tugas memperkasa dan membangunkan modal insan pelajar menerusi program pendidikan yang dijalankan.