KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) meminta semua bahagian parti itu di seluruh Sabah supaya memperkemaskan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN).
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata seruan itu merupakan antara ketetapan yang dibuat pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat yang dipengerusikan oleh presiden parti itu, Datuk Seri Hajiji Noor di sini hari ini.
Nizam berkata Gagasan Rakyat juga menzahirkan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Parti Gagasan Rakyat Sabah menyokong dan mendukung segala usaha serta komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah dalam menangani masalah yang diwarisi dari Kerajaan lalu seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya serta keperluan lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sabah yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Nizam berkata parti itu turut menyatakan sokongan terhadap komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah dalam menuntut hak hak rakyat dan negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Negara.
“Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat juga telah mengambil maklum ke atas sambutan dan respon positif daripada rakyat di seluruh pelusuk negeri Sabah untuk menyertai dan memohon menjadi ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah,” katanya.