ESSCOM bersama masyarakat santuni 300 murid sekolah di Semporna

SEMPORNA: Seramai 300 orang murid dari 11 sekolah rendah di Daerah Semporna disantuni dalam Program ‘Back To School’ Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Dewan Al-Khawarizmi, Sekolah Kebangsaan Balimbang dekat sini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Dr. Jamaluddin bin Mohd. Ali semasa merasmikan majlis berkata, program yang diadakan bersempena dengan program ESSCOM Bersama Masyarakat Di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) ini, bertujuan untuk membantu murid sekolah di daerah Semporna dalam golongan asnaf dan B40 agar mereka kembali ke sekolah dengan lebih bersemangat dan dapat belajar dengan selesa.
“Meskipun diadakan selepas sesi persekolahan bermula, namun perkara yang lebih utama adalah murid-murid yang menerima kit ‘Back To School’ dapat memanfaatkan sumbangan yang diberikan dan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mencapai impian dan cita-cita,” tambahnya lagi.
Di samping membantu murid-murid yang kurang berkemampuan, program yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Daerah Semporna turut diadakan bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara pasukan keselamatan dengan masyarakat setempat di ESS Zone melalui aktiviti kemasyarakatan serta kebajikan.
Selain Sekolah Kebangsaan Balimbang, kit ‘Back To School’ berupa beg sekolah, pakaian, stoking dan alat tulis yang disumbangkan oleh Syarikat Canggih Bayu Sdn. Bhd. turut diserahkan kepada murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Terusan Baru, Sekolah Kebangsaan Terusan Tengah, Sekolah Kebangsaan Tongkalloh, Sekolah Kebangsaan Gelam-Gelam, Sekolah Kebangsaan Labuan Haji, Sekolah Kebangsaan Egang-Egang, Sekolah Kebangsaan Berpusat Bum-Bum, Sekolah Kebangsaan Sulabayan, Sekolah Kebangsaan Hampalan dan Sekolah Kebangsaan Sisipan.
Terdahulu, turut diadakan sesi Ceramah Motivasi bertajuk ‘Murid Beradab, Murid Hebat’, yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Semporna, Mohd Ariff Alias.
Hadir sama, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Balimbang, Ariffin Uzam @ Ujam; wakil Pegawai Pendidikan Daerah Semporna, Hajah Namla Haji Abdul Hamid; wakil Pegawai Daerah Semporna, Samsiah Sabdan; Ketua Staf Bahagian Siasatan Khas dan Teknikal ESSCOM, SAC Mohamad Pajeri Ali; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Balimbang, Haji Nasir Abu Bakar; Ketua-ketua Staf Bahagian Keselamatan, Pengarah Awam dan pegawai kanan ESSCOM, Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan dan Negeri serta warga pendidik Daerah Lahad Datu.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles