KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yakin kepimpinan baru UMNO Bahagian Beluran mampu memulihkan imej serta maruah parti khususnya di bahagian itu untuk untuk bangkit dan terus berjuang memperkasakan parti.
Katanya, Bahagian Beluran sebelum ini merupakan wilayah UMNO namun tercalar atas sikap pemimpin yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi dari kepentingan parti apabila melakukan lompatan menyertai parti lain.
“Kita hormati keputusan mereka, meskipun ianya bukan keputusan akar umbi, Biar pelbagai ujian mendatang, semangat perjuangan kita takkan pudar. Membujur lalu melintang patah. Patah paruh bertongkat dagu namun daki tetap didaki bersama,” katanya selepas menerima kunjungan hormat kepimpinan baharu UMNO bahagian Beluran di kediaman beliau di Luyang dekat sini pada Rabu.
Kunjungan yang diketuai Ketua UMNO bahagian Beluran yang baru Jumain Ratib, Timbalan Ketua Bahagian Benedict Asmat, dan Naib Ketua UMNO bahagian Yussof Latif Mustapha.
UMNO bahagian Beluran baharu sahaja selesai mengadakan pemilihan jawatankuasa UMNO bahagian minggu lepas setelah ditangguhkan disebabkan beberapa masalah teknikal
Sambil mengucapkan tahniah kepada mereka yang terpilih menganggotai jawatankuasa baharu UMNO bahagian Beluran bagi sesi 2023-2026 Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan UMNO sebelum ini yang diketuai bekas Ketua Bahagiannya Julie Sabran atas khidmat bakti yang dicurahkan selepas UMNO Sabah berhadapan dengan cabaran.
“Adat pertandingan yang menang tidak menang semua begitu juga yang kalah bukanya kalah semua yang pasti selepas pemilihan parti kembalilah bersatu atas konsep perjuangan demi menjaga institusi parti agar terus cemerlang bagi memberikan khimdat terbaik untuk rakyat dan ahli” katanya.
Menurut Bung parti keramat ini memerlukan nafas dan semangat baharu bagi mengembalikan perjuangan yang ampuh.
Justeru Bung berharap UMNO Bahagian Beluran akan dapat berkerja dalam satu pasukan yang mantap ,Menyusun gerak kerja mendekati ahli dan rakyat di akar umbi bagi mempastikan UMNO tetap menjadi pilihan rakyat dan Kawasan yang pernah di wakili UMNO itu akan Kembali ke tangan UMNO khususnya dalam menghadapi PRN akan datang.