KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberikan mandat kepada CEDAR untuk menerajui beberapa program pembangunan kapasiti keusahawanan dengan dana keseluruhan bernilai RM11.5 juta tahun ini.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara program itu ialah Skim Insentif Kelestarian, Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal, Program Rintis Pemantapan dan Pendaftaran Harta Intelek serta Skim Juara Lestari.
“Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) masih memerlukan program peningkatan kapasiti dan keupayaan agar pembangunan perniagaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Justeru, KUSKOP mengiktiraf kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh CEDAR dalam memacu pencapaian sektor ini.
“Program-program pembangunan kapasiti keusahawanan otu ialah Skim Insentif Kelestarian RM10 juta; Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal dengan dana RM400 ribu bagi bantuan pematuhan pensijilan halal, Program Rintis Pemantapan dan Pendaftaran Harta Intelek dengan dana RM100 ribu serta Skim Juara Lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Centre For Entrepreneur Development and Research (CEDAR) dan Pelancaran Program Pembangunan Perusahaan Sosial SME Bank, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian(Dasar dan Pemantauan) Noor Afifah Abdul Razak, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Centre For Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) Amirul Imran Ahmat.
Ewon berkata, kerajaan menyasarkan agar PMKS memberi sumbangan 45% kepada KDNK, 72% kepada penjanaan pekerjaan dan 25% kepada jumlah nilai eksport.
“Penggerak utama kepada pertumbuhan ini adalah melalui intervensi yang holistik dan inklusif yang memerlukan semua pihak menggembleng tenaga dan memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun katanya, sokongan kewangan sahaja tidak membuahkan hasil sebaliknya memerlukan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh SME Bank melalui CEDAR dalam menyediakan kemudahan.
“Penubuhan CEDAR telah memberikan impak besar terhadap pemerkasaan, peningkatan keupayaan dan kapasiti PMKS negara.
“Saya berharap CEDAR akan terus mara dan hadir dengan pelbagai lagi kemudahan inovatif seiring perkembangan dan keperluan sektor PMKS,” katanya.
Sementara itu, Ewon berkata, SME Bank menyediakan RM20 juta untuk Skim Pembiayaan perusahaan sosial atau “social enterprise” (SE).
Beliau berkata, kejayaan SME Bank satu daripada agensi kementeriannya untuk melancarkan inisiatif SE pastinya menjadi batu loncatan untuk mencapai hasrat Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030).
“Melalui SEMy2030, kerajaan menyasarkan untuk mencapai jumlah perusahaan sosial berdaftar sebanyak 5,000 perusahaan menjelang 2025 dan 20 peratus daripada jumlah pendaftaran ini telah diakreditasikan.
“Ketika ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempunyai rekod SE berdaftar sebanyak 511 buah syarikat di mana 59 daripadanya adalah di bawah kategori SE Diakreditasi dan yang selebihnya di bawah kategori SE Asas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Centre For Entrepreneur Development and Research (CEDAR) dan Pelancaran Program Pembangunan Perusahaan Sosial SME Bank, di sini, hari ini.
Ewon berkata, kerajaan ingin memastikan keusahawanan sosial bukan sekadar trend perniagaan yang diadaptasi atas faktor semasa tetapi melahirkan usahawan yang berdaya saing.
“Sudah tiba masanya kita menormalisasi dan mengarus perdana SE melalui sokongan seperti pembiayaan, akreditasi dan program peningkatan kemahiran,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan ingin melahirkan lebih ramai perusahaan SE yang diakreditasi agar mereka mampu berkembang menjadi perniagaan yang mampan dan berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
“Perusahaan SE yang disahkan status akan memperoleh lebih banyak akses dan manfaat seperti peluang pembiayaan, geran dan program latihan,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian(Dasar dan Pemantauan) Noor Afifah Abdul Razak, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Centre For Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) Amirul Imran Ahmat.