KOTA KINABALU: Sebanyak 100 peserta terdiri daripada kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyertai program Rentas Borneo 2023 dilepaskan secara rasmi di Dataran Dewan Canselor hari ini (13 Jun).
Semua peserta yang menaiki 30 buah kenderaan pacuan empat roda itu dilepaskan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.
Menurut Datuk Dr. Kasim, program ini akan berlangsung dari 13 hingga 17 Jun di Kampung Long Pasia, Sipitang bertemakan ”To Long Pasia”.
”Program Rentas Borneo yang dianjurkan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS 4WDVC) merupakan satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke kawasan pedalaman Sabah yang menekankan kepada peranan UMS dalam melakukan proses pemindahan dan perkongsian ilmu dengan masyarakat.
“Program ini bermula sejak tahun 2014 sempena sambutan ulang tahun ke-20 UMS dengan mengelilingi seluruh daerah di negeri Sabah sebagai salah satu aktiviti mempromosi UMS kepada masyarakat terutamanya yang tinggal di pedalaman.
Katanya lagi, aktiviti ini terus diadakan pada tahun 2015 di Pagalungan, Pensiangan; tahun 2016 di Kg. Pun Batu, Sook; tahun 2017 di Kg. Magandai, Kota Marudu dan terakhir sekali pada tahun 2019 di Kg. Gusi, Ranau sebelum terhenti akibat pandemik COVID-19.
Tambah beliau, tahun 2018 program ini diubah suai pelaksanaannya dengan menjalankan aktiviti rentas sempadan dan memasuki negeri Sarawak.
“Program ini walaupun dilihat sebagai program CSR, tetapi program ini juga memberikan peluang untuk menerapkan konsep ‘service learning’ bagi membolehkan pensyarah, kakitangan pentadbiran dan pelajar UMS mempraktikkan teori dan idea yang diperoleh dalam bilik kuliah dan diterjemahkan kepada perkhidmatan yang secara langsung berfaedah kepada komuniti.
“Melalui penganjuran program ini juga UMS dapat menyebarluaskan kepentingan pendidikan secara umumnya, dan pendidikan tinggi secara khususnya, dengan menggunakan UMS sebagai mercu lambang untuk pendidikan tinggi di Sabah kepada komuniti pedalaman yang mempunyai perhubungan terhad dengan masyarakat luar,” katanya yang juga akan turut serta mengikuti konvoi ke Kg. Long Pasia.
Tambah beliau lagi, sepanjang program ini berlangsung, beberapa perkhidmatan dan projek pemindahan ilmu akan dijalankan untuk manfaat penduduk kampung seperti pemeriksaan kesihatan, rawatan pergigian dan perubatan, ceramah serta bengkel berkaitan teknologi tenaga solar, teknologi maklumat (ICT), teknologi air bersih, penternakan ikan, teknologi pertanian, pendedahan kepelbagaian seni budaya di Malaysia, sukan dan rekreasi, serta aspek keusahawanan melibatkan industri seperti inap desa dan makanan serta minuman.
Katanya lagi, pada masa yang sama komuniti akan diberikan pendedahan mengenai perkembangan dalam dunia pendidikan dan impaknya kepada kesejahteraan masyarakat memandangkan kedudukan kampung ini jauh di pedalaman dan terasing daripada masyarakat luar.
“Secara khususnya, program ini menyokong Lonjakan ke-10 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang memfokuskan kepada “Transformasi Penyampaian Pendidikan Tinggi”.
“Salah satu tumpuan utama ialah mewujudkan jaringan kukuh antara universiti awam dan komuniti. Justeru, program ini akan merentas hubungan yang kukuh dan erat dengan komuniti pedalaman di Sabah agar arus pembangunan dalam pendidikan dapat dilihat, dirasai dan meresap ke seluruh pelusuk masyarakat,” katanya.
Penganjuran ini juga mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan, swasta dan NGO seperti Hospital UMS menerusi KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS), Eternity Mode, UMS Investment, Qhazanah Sabah Berhad, K.T.I. Sdn. Bhd., Atikah Enterprise, Jurukin Sdn. Bhd., Sabah Development Bank Berhad, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah serta syarikat dan individu-individu dermawan.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof yang juga Presiden UMS 4WDVC.