Victor Sanjos Diyakini Mampu Pikul Tugas Berat Sebagai Komander ESSCOM

KOTA KINABALU: Pelantikan Komander ESSCOM yang baharu, DCP Victor Sanjos dilihat tepat kerana latar belakang perkhidmatannya yang pelbagai selain turut pernah memegang jawatan yang penting di ESSCOM sebelum ini.

Advertisements

Sebagai anak tempatan Sabah, Victor juga diyakini mampu memikul tanggungjawab tersebut dengan berkesan walaupun mungkin berhadapan dengan cabaran serta ancaman lain jika mengambilkira perkembangan semasa.

Menurut Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto, semua elemen di ESSZONE perlu bersiap siaga serta tidak mudah berpuas hati dengan keadaan keselamatan di kawasan tanggungjawab mereka.

“Apa yang lebih utama, Komander ESSCOM yang baharu juga perlu diberikan kerjasama sebaik mungkin selain perlu memperkasakan kerja-kerja perisikan dan pertukaran maklumat dengan negara jiran.

“Keputusan Mahkamah Rayuan di Paris yang mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 melibatkan kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu tidak wajar dipandang sebelah mata,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zaki yang juga bekas pegawai polis percaya kumpulam tersebut dipercayai didalangi oleh pihak tertentu dan dilihat agak agresif dalam perjuangan mereka.

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan yang mereka memiliki penyokong fanatik dan berkemungkinan merancang untuk membuat sesuatu sebagai tanda protes.

“Pun begitu, dengan kreadibiliti serta pengalaman Komander ESSCOM yang baharu, keadaan keselamatan di ESSZONE pasti menjadi prioritinya,” katanya.

Beliau berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang terbaik kerana kesejahteraan hidup masyarakat khasnya di kawasan Pantai Timur Sabah “tidak boleh dikompromi”.

Sementara itu, Zaki merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham
Bekas Ketua Staf Bahagian Perisikan ESSCOM SAC Zulkifli  bin Abdul Aziz yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan, Perak pada 6 Jun.

Menurut Zaki, Allahyarham berperanan besar dalam memantau dan mengatur langkah kerja-kerja perisikan semasa insiden pencerobohan Tanduo kira-kiro 10 tahun yang lepas.

“Saya turut berduka dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles