Kenyataan Media Jabatan Peguam Negara Putrajaya, Malaysia
KOTA KINABALU:Pada 29 Mei 2023, Jabatan Peguqm Negara telah menerima yang ditujukan kepada Peguam Negara Malaysia bertarikh 28 Mei 2023 daripada Paul H. Cohen, peguam kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (“Penuntut”) yang telah membuat tuntutan terhadap Kerajaan Malaysia (“Tuntutan”).
Surat tersebut telah menuntut bayaran segera, iaitu sebelum 2 Jun 2023, bagi Final Award yang dikatakan itu yang berjumlah sebanyak USD16.412 bilion (termasuk 10% faedah), USD3,502,394.24 bagi bayaran peguam dan ahli pakar serta USD4,026,592.64 bagi kos timbang tara.
Surat tersebut telah mendakwa, antara lain, bahawa Kerajaan Malaysia dengan sengaja telah gagal untuk mematuhi Final Award yang dikatakan itu dan telah membuat dakwaan yang keterlaluan terhadap penimbang tara yang dikatakan itu, Dr. Stampa dan tindakan-tindakan yang diambil oleh Dr. Stampa.
Selain itu, kandungan surat tersebut juga telah memberi gambaran yang tidak tepat dan memfitnah Kerajaan Malaysia berhubung tindakan undang-undang yang telah diambil dalam menangani Tuntutan tersebut.
Kerajaan Malaysia menafikan sepenuhnya semua dakwaan dan sindiran yang dibuat di dalam surat tersebut.
Kesemua dakwaan oleh Paul H. Cohen dalam surat tersebut adalah sama sekali tidak benar dan secara terang-terangan telah tidak mengendahkan fakta sebenar Tuntutan tersebut yang tidak dapat disangkal lagi yang akan mewujudkan rekod bertulis bagi perkara yang tidak benar yang bertujuan untuk digunakan terhadap Malaysia.
Jabatan ini menyelar dengan tegasnya segala dakwaan yang dibuat
“BERTEKAD MENEGAKKAN KEADILAN”
PN.PRO.100-3/6/4 Jld.2 ( 13 )
dalam surat tersebut.
Dalam hal ini, adalah melampau bagi Penuntut untuk membuat tuntutan bayaran bagi Final Award yang dikatakan itu sedangkan prosiding undang-undang masih lagi berlangsung.
Jabatan ini ingin merekodkan bahawa Kerajaan Malaysia dengan tegasnya membantah Final Award dan mengekalkan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf kesemua tindakan yang telah diambil oleh Dr. Stampa dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu serta semua keputusan dan award yang dikeluarkan olehnya yang tidak sah dari segi undang-undang.
Berdasarkan dakwaan palsu yang telah dibuat, pada 31 Mei 2023, Kerajaan Malaysia, melalui Peguam Negara Malaysia, telah menjawab surat tersebut yang telah menyatakan dengan jelas fakta-fakta berhubung Tuntutan tersebut yang tidak boleh dipertikaikan.
Selain itu, suatu laporan polis telah dibuat pada 1 Jun 2023 terhadap Paul H. Cohen atas kenyataan dan dakwaan tidak adil yang dibuat terhadap Peguam Negara.
Tindakan ini membolehkan siasatan yang sewajarnya dijalankan bagi apa-apa kesalahan jenayah yang dibuat di bawah undang-undang Malaysia.
Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala Tuntutan tersebut dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.