SANDAKAN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa melakukan kerja penyelenggaran segera terhadap infrastuktur asas yang rosak terutamanya lampu jalan bagi memastikan keselamatan pengguna sepanjang sambutan hari raya.
Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata masalah ini sewajarnya diambil perhatian yang serius oleh PBT seperti Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi menyelesaikan lampu jalan yang perlu diselenggarkan.
“Masalah lampu jalan yang tidak menyala kawasan taman-taman perumahan, jalan-jalan kampung dan jalan utama di daerah Sandakan merupakan masalah yang sering diterima oleh pihaknya.
“Walaupun lampu jalan utama dibawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak PBT mengarahkan JKR selenggarakan lampu jalan yang tidak menyala”, katanya.
Beliau berkata ketiadaan lampu jalan akan mengundang pelbagai masalah keselamatan termasuk kemalangan kepada pengguna.
“Presiden Majlis Perbandaran Sandakan jangan sahaja duduk pejabat sebaliknya turun padang melihat masalah yang dihadapi rakyat Sandakan. Isu lampu jalan pun tidak dapat diselesaikan oleh presiden MPS ini? , amat memalukan daerah Sandakan sahaja”, katanya.
“Para pengguna jalan raya melahirkan kebimbangan terhadap kerosakan lampu jalan tidak diselenggarkan yang boleh menyebabkan nahas jalan raya sehingga boleh menyebabkan kematian,” tegasnya selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Batu 7 , kelmarin.
Pada majlis itu, Suhaimi meminta pengamal media memainkan peranan melaporkan berita sahih dan tepat, tetapi juga melindungi rakyat daripada berita palsu yang berpotensi menggugat ketenteraam awam serta memelihara kesejahteraan dan kestabilan negara.
“Saya sangat menghargai usaha dan kerjasama pengamal media dalam memerangi berita palsu. Saya memahami cabaran pihak media yang kini berhadapan dengan pelbagai maklumat yang tidak tepat tersebar di media sosial sekaligus mengelirukan rakyat.
Oleh itu, beliau menyeru kepada semua pengamal media agar terus menyumbang melahirkan masyarakat yang bermaklumat.
“Jadilah pengamal media yang objektif, jujur, dinamis, professional, beretika dan memiliki perasaan tanggungjawab dan seimbang dalam melaporkan berita.
“Saya berharap pengamal media sentiasa memainkan peranan dalam memastikan perpaduan rakyat terus utuh dan memupuk keamanan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini”, katanya.