Oleh: Jaafar Abdul Wahid
SANDAKAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin meminta semua bahagian-bahagian UMNO di negeri ini supaya mengaktifkan peranan media untuk mempertahankan parti dan pemimpin dari serangan tentera siber atau “Cybertroopers” parti lawan.
Katanya peranan itu perlu diambil perhatian serius oleh Biro Penerangan di setiap bahagian susulan keputusan UMNO Sabah membentuk satu Biro baharu iaitu Komunikasi dan Strategik yang perlu diwujudkan di semua bahagian.
“Kita perlu aktif dalam pelbagai platform media terutamanya Media Sosial (Facebook) Instagram,Tik Tok,portal dalam talian termasuk media cetak bagi mempertahankan pemimpin dan parti apabila diserang oleh parti lawan terutamanya di media sosial,” katanya.
Bung berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat pertama ahli jawatankuasa UMNO bahagian Kinabatangan dan majlis angkat sumpah di Sabah Hotel dekat sini pada Isnin.
Menurut Bung, UMNO Sabah menyedari parti lawan telah memanafaatkan kemudahan itu untuk menyerang UMNO dan ini termasuk penguasaan mereka terhadap beberapa portal dalam talian dan difahamkan turut menyediakan dana untuk mereka melaksanakan tugas menyerang UMNO.
“Bukan sahaja portal dalam talian di media sosial ,tik tok mereka terus menyerang malah turut melibatkan pegawai-pegawai tertinggi pemimpin tertentu seperti Setiausaha politik dan Pegawai Khas membuat pelbagai provokasi dan fitnah di media sosial yang bukan pun tugas hakiki mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Bung yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan mahu agar disetiap daerah mengundi (PDM) UMNO diwujudkan kumpulan tentera siber atau ‘cyebertroopers’ yang aktif dan peranan itu perlu dipikul oleh Biro Penerangan, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian dan cawangan sebagai tenaga pengerak utamanya.
Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, perkara penting ini disebabkan apabila UMNO Sabah membuat kajian dalam PRU dan PRN yang lepas jelas, parti yang tidak menelaah, dan tidak menggunakan kekuatan melalui media sosial akan dikalahkan.
“Realitinya, gambaran politik pada ketika ini telah berubah daripada landskap politik biasa, di mana setiap parti perlu merungkai dan perlu mencari pendekatan baharu untuk memastkkan parti itu akan terus sentiasa relevan dalam berhadapan dengan pilihan raya,” katanya.
Bung Moktar mengakui kelemahan UMNO dalam memenangi banyak kerusi pada PRU dan PRN lepas disebabkan budaya parti itu, yang mana kebanyakan ahlinya tidak memainkan peranan untuk menghalang dan membela kritikan terhadap pemimpin mereka melalui media sosial.
“Bahkan mereka terikut-ikut dengan rentak pembangkang (contohnya) apabila sebuah blog atau protal dalam talian menyiarkan bermacam-macam. Orang UMNO sendiri pula ‘discredit’ atau memburukkan pemimpin dia,” katanya.
Bung Moktar turut menyamakan serangan terhadap pemimpin dalam politik dengan serangan terhadap seorang jeneral dalam peperangan.
“Apabila jeneral dia mati, maka pasukan itu akan lemah,” tambahnya secara metafora.
Oleh itu, beliau berkata kumpulan tentera siber atau ‘cybertroopers’ akan diwujudkan di setiap pusat daerah mengundi (PDM) UMNO, mampu memberikan impak lebih tinggi untuk membantu kekuatan parti itu.