KUDAT: USIA Bahagian Kudat mempertahankan pendirian yang telah dibuat oleh USIA Pusat melalui Yang Dipertuanya untuk membantah sekeras-kerasnya pembinaan Patung Mazu ditapak asal ia dicadangkan berhampiran Masjid Daerah Kudat.
Ketua USIA Bahagian Kudat,Encik Jasni Eser berkata selain USIA, pembinaan patung itu juga dibantah oleh Majlis Gabungan NGO Sabah, yang mewakili lebih dari 20 buah Persatuan Islam.
Ahli Jawatankuasa USIA Bahagian Kudat mengadakan mesyuarat pada sabtu untuk mengulangi pendirian mereka bahawa USIA bahagian itu membantah jika Patung berkenaan dibina ditapak asal yang terlalu dekat dengan Masjid Daerah.
“Sudah tentu pembinaannya boleh mengganggu umat Islam menunaikan ibadat di dalam Masjid,” jelas beliau.
Jasni menegaskan umat Islam di Kudat tahu bahawa Kerajaan Negeri, ketika isu pembinaan Patung Mazu sedang memuncak, lebih sepuluh tahun lalu, telah menyediakan tapak alternatif bagi membina patung itu namun tiada sebarang usaha susulan dilakukan oleh pihak terbabit.
Kini, ada pihak yang beria-ia mahu memulakan usaha untuk mendirikan patung itu.
USIA Bahagian Kudat akan tetap bersama dengan USIA Pusat dan Majlis Gabungan Ngo-Ngo Islam, MEMBANTAH sekeras kerasnya pembinaan patung berkenaan.
Jasni merayu kepada Kepimpinan Negeri Sabah untuk memberi perhatian khas terhadap bantahan yang disuarakan oleh USIA dan Majlis Gabungan NGO Islam supaya pembinaan Patung Mazu tidak diteruskan berhampiran Masjid Daerah Kudat.
“Janganlah bagi alasan patung itu boleh menarik kemasukan pelancong ke Sabah dan Kudat, kerana banyak cara lain boleh difikirkan untuk menarik pelancong,” jelas Jasni.