KOTA KINABALU: Anak jati Sabah Datuk Jauteh Dikun telah dilantik sebagai pemangku Pesuruhjaya Polis Negeri menggantikan Datuk Idris Abdullah yang bersara pada 31 Mac.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Jauteh mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang untuk menguruskan keselamatan dan keharmonian sosial di Sabah.
“Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang, saya yakin Sabah berada di tangan yang betul untuk kendalikan aspek keselamatan, aspek keharmonian sosial dan kesejahteraan rakyat di Sabah yang penuh dengan cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis dan Pengerusi Perkep Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.
Acryl Sani jberkata, pihaknya akan mengumumkan pelantikan rasmi jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu dalam tempoh terdekat.
“Hujung minggu ini akan diadakan mesyuarat oleh polis yang akan membincangkan dan memilih beberapa calon yang disyorkan bukan di Sabah saja, bahkan di beberapa tempat lain. Ada banyak kekosongan jawatan utama yang perlu diisi segera,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan telah diambil bagi mengisi kekosongan perjawatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).