SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir amat kecewa dengan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang tidak memberi keutamaan cadangan projek Jalan Bypass Libaran dari Batu 16 ke Batu 32 yang telah tertangguh selama 5 tahun.
“Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berhubung status Jalan Libaran Bypass, telah memaklumkan, projek pembinaan jalan itu tidak disenaraikan sebagai keutamaan Rolling Plan (RP) 4 Rancangan Malaysia Ke12 oleh kerajaan negeri kepada pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia,” katanya.
Beliau berkata projek jalan berkenaan telah diluluskan pada RP 3 Rancangan Malaysia ke 10 (2011-2015) dan merupakan jalan yang perlu dibina sebagai alternatif ke bandar Sandakan.
“Jalan yang ada sekarang iaitu Jalan Labuk adalah satu-satu jalan yang menghubung Sandakan ke daerah lain dan tidak lagi dapat menampung keperluan pengguna apabila berlaku kesesakan pada waktu puncak,” katanya selepas sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, kelmarin.
Suhaimi berkata projek pembinaan jalan itu telah dilaksanakan bermula di fasa 4 bagi pembinaan jalan baharu dua lorong termasuk pembinaan jambatan di Sungai Gum-Gum dan pembinaan jalan ini telah siap sepenuhnya tetapi tebing penyanggah jambatan yang dibina telah runtuh dan pihak JKR telah memohon kepada kerajaan pusat bagi membina semula jambatan yang runtuh di fasa 4 itu.
“Tiga lagi fasa iaitu Fasa 1, 2 dan 3 tidak disenaraikan sebagai projek keutamaan oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam RP 4 RM ke 12 yang kemukakan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia.
“Yang menjadi persoalan, mengapa Kerajaan Negeri Sabah tidak menjadikan projek penbinaan jalan ini sebagai keutamaan sedangkan jalan ini telah tertangguh sekian lama,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi turut membangkitkan adakah sebarang perancangan kerajaan bagi menaiktaraf Jalan Labuk dari Batu 16 ke Check Point Batu 32 menjadi dua lorong.
“Timbalan Menteri memaklumkan naiktaraf Jalan Labuk ini juga tiada dalam senarai keutamaan Kerajaan Negeri sedangkan perkara ini sering dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat untuk diambil perhatian oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata Jalan Labuk itu tidak lagi dapat menampung bilangan kenderaan banyak memasuki atau keluar Sandakan sehingga berlaku kesesakan pada masa puncuk tetapi penyelenggaran itu oleh konsesi yang dipertanggungjawabkan tidak dilaksanakan dengan baik.
“Kejadian kemalangan juga sering berlaku, baru-baru ini sahaja kes kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Batu 31 Jalan Labuk telah menyebabkan kesesakan tanpa pergerakan kenderaan lebih 5 jam.
“Jalan Labuk ini merupakan jalan utama menghubung Sandakan ke daerah-daerah lain di Sabah. Kerajaan Negeri Sabah perlu melihat ini adalah keperluan rakyat di Sandakan yang mendesak. Rakyat Sandakan telah menanti sekian lama untuk menikmati kemudahan jalanraya yang baik ,” tegasnya.
Suhaimi meminta Kerajaan Negeri agar mengangkat dua isu jalan ini kepada kerajaan pusat untuk diberi projek keutamaan demi kepentingan dan keselesaan rakyat Sandakan.