Vivian gesa KPKT segera tangani isu tapak pelupusan sampah

u

Advertisements

SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong menggesa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar dapat segera menangani isu-isu seperti tapak pelupusan sampah yang tidak bersesuaian dan pengurusan tapak pelupusan sampah yang lemah di Sandakan sekaligus mengembalikan persekitaran yang bersih dan sihat kepada warga Sandakan.

Beliau mengeluarkan kenyataan di atas selepas menerima maklum balas daripada Timbalan Menteri KPKT mengenai isu pencemaran udara dan air yang disebabkan oleh tapak pelupusan sampah Sandakan yang tidak teratur dan sesuai semasa sesi soal jawab kepada Menteri KPKT pada sidang Dewan Rakyat Parlimen Ke-15 Penggal Kedua.

Vivian menambah, tapak pelupusan sampah sentiasa mengeluarkan bau busuk dan pembakaran haram turut menimbulkan kepulan asap yang menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk sejauh beberapa batu.

Selain itu, disebabkan tapak pelupusan sampah itu berhampiran dengan sungai, banyak sampah mengalir melalui sungai ke laut dan menyebabkan pencemaran air serta menjejaskan kesihatan dan keselamatan berpuluh ribu orang di Sandakan.

Vivian berkata, beliau juga telah berkali-kali bertanya kepada pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengenai isu ini dan maklum balas yang beliau dapat ialah isu alam sekitar adalah di bawah kawalan Kementerian Alam Sekitar. 

Tetapi Vivian berasa pelik kenapa kontraktor yang menguruskan tapak pelupusan itu dikawal selia oleh pihak MPS?.

Sehubungan itu, beliau juga bertanya kepada KPKT sama ada Kementerian akan mengenakan denda atau mengambil tindakan terhadap pengurusan kontraktor yang gagal menangani tapak tersebut dan menyebabkan berlakunya pencemaran berkenaan.

Jawapan Timbalan Menteri ialah isu tapak pelupusan berkaitan adalah di bawah kawalan Akta Pengurusan Sisa Pepejal 1961 Kerajaan Tempatan Sabah, dan Sabah tidak termasuk dalam Akta 672, yang terletak di bawah bidang kuasa Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam. 

Bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar masih mempunyai ruang untuk penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

“Jika anda bertanya pendapat saya, saya bersetuju supaya tapak pelupusan sampah ditutup sepenuhnya apabila ia penuh.”

“Selain itu, tapak pelupusan sampah yang lebih patuh syarat dan sistematik perlu diwujudkan supaya pengurusan sisa pepejal dan sampah di Sandakan akan menjadi lebih baik,” kata timbalan menteri lagi.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar Ahli Parlimen Sandakan boleh berbincang dengan kerajaan tempatan, Majlis Perbandaran Sandakan dan kerajaan negeri Sabah jika sekiranya kerajaan negeri itu mempunyai tapak yang sesuai, dan seterusnya boleh mengemukakan pelan kepada KPKT untuk permohonan berkenaan agar masalah itu dapat diselesaikan dalam jangka masa yang panjang.

Vivian berkata, beliau dan pasukannya akan terus berunding dengan MPS serta kerajaan negeri mengenai isu ini bagi mencari penyelesaian dalam jangka pendek dan mengembalikan persekitaran hidup berkualiti tinggi kepada penduduk Sandakan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles