SANDAKAN: Kementerian Pendidikan Malayaia (KPM) perlu mengkaji semula cadangan memindahkan pembinaan Sekolah Seni Malaysia Sabah dari Hub Pendidikan Sandakan ke Tuaran.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata cadangan pembinaan asal sekolah seni itu diletakkan di Hub Pendidikan Sandakan dengan keluasan 40 ekar.
“Tetapi ekoran campurtangan politik, cadangan pembinaannya dipindahkan ke Tuaran, saya dimaklumkan di tapak sekolah itu terletak di kawasan paya,” katanya semasa perbahasan belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, petang semalam.
Beliau mempersoalkan tindakan itu sedangkan cadangan asal di Hub Pendidikan Sandakan dalam Parlimen Libaran.
“Saya difahamkan kos penimbusan tapak di kawasan paya itu sahaja dianggarkan menelan kos puluhan juta ringgit. Pemindahan tapak sekolah itu telah menyebabkan berlaku peningkatan kos dari cadangan asal,” katanya.
Suhaimi berkata sekolah seni ini ditubuhkan sejak tahun 2016 dan kini masih menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura, Sandakan dengan menempatkan hampir 200 pelajar sementara menunggu sekolah itu siap di bina di Hub Pendidikan Sandakan.
“Saya meminta Kementerian Pendidikan melihat balik cadangan pemindahan tapak itu dan kita minta kementerian mengekalkan pembinaannya di Hub Pendidikan Sandakan seperti cadangan asal,” katanya.
Isu berasingan, Ahli Parlimen Libaran itu turut mencadangkan kepada Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan agar mengambil inisiatif membina tukun tiruan di Teluk Sandakan dan Perairan Parlimen Libaran seperti Pulau Nunuyan, Pulau Libaran, Gubin Rock dan Kuala Gum-Gum dalam meningkatkan populasi hidupan marin selain menjana pendapatan nelayan tempatan.
