KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Jabatan Ketua Menteri akan bekerjasama menganjurkan Forum Malaysia Madani di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 9 Mac ini.
Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata forum itu merupakan antara program sokongan yang bakal dilaksanakan bagi menjayakan dasar kepemimpinan negara yang diusulkan Perdana Menteri ke-10, Dato Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata forum tersebut dijangka dihadiri lebih kurang 500 orang peserta, termasuk penjawat awam, pelajar-pelajar Pusat Pengajian Tinggi dan wakil-wakil NGO.
“Kita bersyukur kerana Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor telah menyatakan persetujuan untuk menyempurnakan Perasmian Penutupan Forum ini,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu, dekat sini hari ini.
Menurutnya kolaborasi antara USIA dan Jabatan Kerajaan menganjurkan forum itu pp sangat signifikan dan bertepatan dengan misi serta visi USIA untuk melebarkan skop dakwah.
“Usaha ini juga relevan dengan Pelan Strategik Pembugaran USIA yang menjadi teras perjuangan untuk mengembalikan kegemilangan USIA,” katanya.
Sapawi turut menggariskan beberapa objektif penganjuran forum itu.
Katanya ini termasuk melestarikan masyarakat yang berilmu pengetahuan melalui perbincangan ilmiah dan interaksi serta ruang yang selesa bagi mengemukakan saranan dan pendapat tanpa membezakan suku, ras dan agama.
Ia juga bermatlamat untuk menyuburkan masyarakat yang beradab dan berilmu dengan nilai-nilai kemanusiaan bagi menjamin keseimbangan antara kebebasan individu dan kestabilan negara dan masyarakat, katanya.
Sapawi berkata forum seharus itu turut memberi fokus kepada usaha memasyarakatkan budaya madani yang bercirikan kepelbagaian.
Beliau berkata tiga orang ahli panel
akan menjelaskan secara holistik dan mengupas secara ilmiah bidang-bidang yang mengaitkan kepelbagaian yang sinonim dengan negara Malaysia dan negeri Sabah.
Mereka ialah Profesor Datuk Dr Haji Taufiq Yap Yun Yin, Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Ketua Pusat Penyelidikan Sains Dan Teknologi Katalisis UPM, Datuk Dr Amin Senin Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan dan
Profesor Dr Issraq Haji Ramli, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam (UMS).
Menurutnya seorang Pendakwah Muda dan USIA Bahagian Sandakan Ustaz Mohd Sufan bin Bahrin akan
menjadi Moderator Forum berkenaan.
Sapawi berkata penganjuran forum itu adalah tepat pada masanya dan wajar disokong semua pihak, terutama di Sabah yang mempunyai lebih 30 suku kaum tetapi rakyatnya masih hidup aman, damai dan harmoni.
Katanya Sabah merupakan role model kehidupan bermasyarakat yang sentiasa harmoni.