KOTA MARUDU: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda menyeru semua pihak terutamanya ibu bapa untuk menyemai semangat cinta akan al-Quran dan kepentingan mempelajari asas membaca kitab suci itu bermula dari awal usia anak-anak.
Katanya, usaha menyemarakkan semangat cinta akan agama bakal disemat dalam diri anak-anak apabila mereka didedahkan dengan kalam suci al-Quran.
“Kita dari awal mempelajari dan membaca kalam suci al-Quran, kitab suci yang menjadi bekalan untuk kita semua ummat Islam.
“Wajar untuk kita sematkan dalam pembangunan rohani anak-anak kita tentang pentingnya menguasai pembacaan dan memahami setiap isi bacaan, biar secara perlahan-lahan, asalkan input utama kita untuk menjadikan kita suci ini sebagai panduan hidup kepada semua generasi kita, mampu diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Bahagian Pantai Barat Utara Kota Marudu Tahun 1444H/2023M di sini baru-baru ini.
Menurut Redonah lagi, majlis tahunan itu adalah sebuah simbol kesepakatan dan komitmen murni dalam usaha memartabatkan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Kita sedia maklum, program ini dilaksanakan secara istiqamah oleh kerajaan kita dan ini adalah penting kerana majlis seumpama ini akan memberi impak berterusan kepada kecintaan kita kepada kitab suci ini.
“Kita semua sedar akan syafaat dan kelebihan apabila menjadikan kitab suci ini sebagai teman hidup dan kalam bacaan kita dalam kehidupan seharian kerana al-Quran adalah asas kehidupan yang dibekalkan oleh Rasullah saw, kekasih Allah yang sangat sayang akan semua ummatnya, iaitu kita semua hari ini.
“Semoga kita beroleh syafaat dan kebaikan dengan mengamalkan kalam suci kitab ini, insyaAllah,” katanya lagi.
Tambah Redonah lagi, kerajaan sentiasa memantau dan memelihara sensitiviti rakyat terhadap isu-isu agama yang dicetuskan oleh pihak tertentu yang disengajakan.
“Ada pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mencurah minyak ke api dan memburukkan keadaan perpaduan kita melalui sentimen agama.
“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita hidup bersama dengan kerukunan dan dalam sebuah negeri dan negara yang bebas untuk kita bersama dan mengamalkan kepercayaan dan agama masing-masing.
“Pihak yang tidak bertanggungjawab dalam soal ini adalah mereka yang sebenarnya mempunyai hasad dengki dengan perpaduan dan jalinan persaudaraan kita dalam komunti berbilang bangsa dan agama,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Redonah juga memberitahu bahawa perkara terbaik untuk mengelakkan sebarang masalah dan perselisihan faham kerana perbuatan pihak bertanggungjawab dalam membawa kekecohan dalam komuniti melalui sentimen agama dan kaum boleh dibendung dengan membudayakan pendekatan dialog.
“Saya mempunyai keyakinan bahawa untuk menangani isu-isu sensitif dalam komuniti, kitab oleh berbincang dalam sesi dialog.
“Dialog ini mestilah berasaskan keikhlasan dan kematangan bagi mencapai persefahaman dan keharmonian.
“Saya lihat dalam konteks hubungan agama-agama, sekiranya dialog ini didukung dan disantuni oleh golongan tokoh agama masing-masing, ia pasti memberi impak positif berganda kepada masyarakat,” ujar beliau.