KUSKOP sentiasa beri perhatian pembangunan koperasi wanita: Ewon

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan koperasi merangkumi pelbagai latar belakang dan kumpulan khusus termasuk koperasi wanita.

Advertisements

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sehingga 30 Jun 2022, sebanyak 250 buah koperasi wanita di seluruh negara tdidaftarkan melibatkan keanggotaan seramai 27,895 orang dengan pengumpulan modal syer dan yuran sebanyak RM18.5 juta, penjanaan aset berjumlah RM77 juta dan perolehan mencecah RM10.07 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, 22 buah koperasi wanita terlibat dalam aktiviti kredit dengan menawarkan pembiayaan kepada anggota koperasi yang melibatkan perolehan koperasi berjumlah RM819,438.

“Pada tahun 2022, sebanyak Sembilan koperasi wanita menerima bantuan pembangunan koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melibatkan peruntukan sebanyak RM602,400.

“Sebanyak 56 buah koperasi wanita merangkumi 6,192 ahli koperasi wanita menyertai program pembangunan kapasiti anggota koperasi anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam penggulungan titah Diraja Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Rakyat Parlimen ke-15, di sini, pada Khamis.

Ewon berkata, KUSKOP melalui SKM mengambil maklum cadangan penubuhan bank koperasi khas bagi menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang perbankan dan kewangan.

Namun katanya, cadangan itu memerlukan penelitian kerana ia bukan sahaja perlu melalui pelbagai proses tetapi perlu dikaji dari aspek daya maju dan daya saing bank koperasi tersebut.

“Dalam hal ini, KUSKOP berpandangan bahawa usahawan-usahawan wanita boleh mendapatkan pembiayaan daripada bank-bank sedia ada yang menyediakan pembiayaan kepada usahawan seperti TEKUN Nasional dan Bank Rakyat yang turut menyediakan program pembiayaan khusus bagi usahawan wanita seperti TEKUNNita dan program Biz Lady,” katanya.

Mengenai isu memudahkan proses pembiayaan kepada usahawan, Ewon berkata, KUSKOP dan agensi-agensi pembiaya di bawahnya sentiasa berusaha menambahbaik proses pembiayaan kepada usahawan.

Katanya, antara langkah itu ialah mengurangkan keperluan dokumentasi, mengurangkan tempoh proses permohonan dan pengeluaran pembiayaan serta menyediakan khidmat nasihat kewangan.

“TEKUN Nasional telah mengurangkan keperluan dokumentasi daripada 17 dokumen kepada empat dokumen sahaja bagi skim pembiayaan TEKUN.

“Tempoh kelulusan pembiayaan juga telah dikurangkan kepada tujuh hari bekerja berbanding 21 hari bekerja serta urusan penyaluran peruntukan kepada usahawan dilaksanakan dalam tempoh tiga hari bekerja,” katanya.

Ewon berkata, bagi SME Bank pula pada tahun 2021 dan 2022, telah memproses permohonan secara purata dalam tempoh 21 hari bekerja berbanding 30 hari bekerja seperti yang ditetapkan dalam piagam pelanggan agensi itu.

Katanya, bagi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula, agensi itu berjaya mengurus tempoh pengeluaran pembiayaan dalam tempoh masa 10 hari berbanding 16 hari seperti yang ditetapkan di peringkat agensi.

“Pernas juga telah mengambil inisiatif untuk mendigitalkan proses permohonan perniagaan di bawah Pernas yang dijangka akan mula digunakan pada akhir tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata, agensi–agensi di bawah KUSKOP yang menawarkan bantuan kewangan seperti TEKUN Nasional, AIM dan SME Corp tidak mengambil kira penilaian CTOS dan CCRIS dalam menawarkan pinjaman dan geran peruntukan kepada usahawan yang menggunakan dana kerajaan.

“Bagi usahawan yang menghadapi risiko kebankrapan atau muflis, KUSKOP melalui INSKEN dan TEKUN Nasional telah mengadakan kerjasama strategik bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam pelaksanaan Program Intervensi: Peluang Kedua.

“Program khas ini menyediakan khidmat nasihat kewangan, membantu menstruktur semula pinjaman serta mewujudkan program bimbingan serta coaching untuk mengurangkan risiko kebankrapan bagi usahawan PMKS,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles