KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu atau khabar angin mengenai situasi keselamatan kerana tindakan itu boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat, khususnya di Sabah.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah, Datuk Noor Alam Khan A. Wahid Khan berkata selain itu tindakan menyebarkan berita palsu juga boleh menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menggugat keamanan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru
rakyat Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin di media sosial terutama yang berkaitan isu keselamatan di negeri ini.
Beliau berkata mereka sebaliknya perlu merujuk kepada pihak berwajib dan media rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat mengenai apa-apa isu keselamatan yang disebarkan melalui media sosial.
Noor Alam berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan pegawai Jabatan Penyiaran Sabah diketuai timbalan pengarah Aminah Samsudin Mohd di sini hari ini.
Mengenai kunjungan itu, beliau berharap MKN Sabah dan Jabatan Penyiaran Sabah dapat bekerja khususnya dalam menyebarkan berita yang sahih dan tepat berkaitan isu keselamatan.
Beliau juga yakin kunjungan itu akan meningkatkan kefahaman mereka terhadap fungsi dan misi MKN.