KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menyokong cadangan Sabah Elektrik Sdn Bhd untuk mengenakan caj penggunaan kepada rumah-rumah setinggan di Sabah.
Presidennya, David Chan berkata, isu setinggan sejak sekian lama membawa pelbagai masalah kepada negeri seperti kecurian air, penyambungan elektrik haram, dadah, kesihatan dan kebersihan.
Beliau berkata, oleh kerana status rumah setinggan itu sendiri yang tidak membenarkan permohonan bekalan elektrik dan air, maka secara tidak langsung berlaku penyambungan haram ekoran desakan hidup.
“Senario itu menjadikan penghuni rumah setinggan umpama perangkap maut yang cuma menanti masa untuk meragut nyawa sesiapa sahaja.
“Pelbagai cara digunakan pihak terbabit untuk mengelak kegiatan mereka ?dikesan pihak berkuasa termasuk menanam kabel dalam tanah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengalami anggaran kerugian sebanyak RM20 juta setahun disebabkan aktiviti penyambungan secara haram pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan bekalan elektrik.
David menegaskan bahawa wayar-wayar yang dipercayai untuk kegunaan sambungan elektrik secara tidak sah atau tidak selamat.
“SESB mengalami anggaran kerugian sebanyak RM20 juta setahun disebabkan aktiviti penyambungan haram.
“Bagi SESB pemberantasan ini memberi manfaat kepada kita sebagai membayar bil, di mana kes kehilangan tenaga ini sangat tinggi buat masa ini di seluruh Sabah yang dipanggil lost system,” ujar beliau.
Jelas beliau lagi, Persatuan Pengguna merasakan tidak adil kepada pengguna yang sah kerana bekalan kuasa telah dicemari oleh kecurian kuasa untuk sambungan tidak sah.
“Pengguna berharap kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri menangani isu rumah setingan membuat penyambungan haram dengan sewenang-wenangnya.
“Isu ini sudah lama tertangguh selain dari segi keselamatan dan isu kanak-kanak tanpa kerakyatan (stateless children),” ujar David.
Sehubungan itu, Persatuan Pengguna bersetuju pihak SESB untuk melantik syarikat Independent Power Distributor (IPD) untuk membekalkan elektrik ke penempatan setinggan dengan menggunakan konsep meter prabayar melalui Independent Power Distributor Projek perintis IPD ini sedang dilaksanakan di Kg Forest, Sandakan.