PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk Pembangunan keusahawanan.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, golongan usahawan terutamanya masyarakat Kadazandusun boleh merebut peluang yang disediakan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“KUSKOP mempunyai 10 agensi yang kesemuanya memberi khidmat sokongan perniagaan kepada para usahawan, koperasi, penjaja dan dan peniaga kecil-kecilan dari segi pembiayaan atau latihan keusahawanan.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya agensi-agensi di bawah kementerian saya diberi ruang untuk menyertai pameran semasa majlis pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan anjuran KDCA tahun ini.
“Biasanya sambutan Kaamatan dihadiri ribuan orang, maka kalau ada ruang, agensi-agensi kerajaan terutamanya agensi di bawah KUSKOP boleh menyertai pameran bagi memberi peluang kepada orang ramai yang menghadiri sambutan itu mendapatan maklumat mengenai keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Pairin di Pejabat KDCA, Hongkod Koisaan Penampang, di sini, kelmarin.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut mencadangkan supaya pelancaran Pesta Kaamatan anjuran KDCA tahun ini diadakan di luar Sabah.