Langkah Kinabalu’ Demi Kepentingan Rakyat Atau Kuasa Mereka ?

Oleh Rina Jainal , Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah
Merangkap ADUN Kukusan.

Advertisements

TAWAU: Semalam Sabah sekali lagi digemparkan dengan berita ‘Langkah Kinabalu’ yang dilihat membawa kepada perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri.

Umum mengetahui terdapat gerakan gabungan parti baharu yang mendakwa mendapat sokongan undi majoriti (SD) ADUN di Sabah, ditangguhkan dipercayai atas sebab sokongan yang dihebohkan tidak mencukupi (majoriti mudah).

Sebenarnya perkara ini bukan perkara mengejutkan memandangkan bukan sahaja dalam kalangan ADUN, malah rakyat juga boleh menjangka perkara ini yang mereka gelar ‘Langkah Kinabalu’.

Perkara ini mula timbul selepas PRU-15 yang lalu. Lebih-lebih lagi selepas pengumuman Kerajaan Perpaduan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Disusuli pula dengan barisan kabinet yang ternyata menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak walaupun mereka sebenarnya berada di blok kerajaan di peringkat Persekutuan.

Sebaik pertukaran pucuk pimpinan di Putrajaya, maka Sabah dilihat negeri paling sesuai untuk dikacau pentadbirannya oleh pihak berkaitan.

Hampir setiap hari akan ada saja kenyataan media daripada individu berlainan (tapi daripada parti yang sama) mengeluarkan kenyataan mengenai kreadibiliti Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang mana saya sifatkan lebih kepada cubaan menimbulkan persepsi untuk mewujudkan keraguan terhadap kepimpinan negeri, namun, terus dipandang sepi oleh rakyat Sabah.

Jika benar berlaku perubahan kuasa di Sabah seperti yang didakwa kumpulan ini, ia bukan sahaja memberi impak kepada Sabah dan rakyatnya, sebaliknya memberi imej yang kurang baik terhadap PM yang memperkenalkan konsep Kerajaan Perpaduan. Ia secara tidak langsung boleh mencalarkan imej konsep Kerajaan Perpaduan yang ada.

Justeru, adakah benar ‘Langkah Kinabalu’ semalam, untuk rakyat?

Seperkara lagi, pada PRU-15, salah satu daripada parti berkenaan hanya menang 3 daripada 52 kerusi Parlimen seluruh negara. Beberapa calon kuat mereka juga terpaksa akur dengan pilihan rakyat yang jelas menolak mereka dengan memilih calon parti lain. Bukankah ini petanda jelas parti nasional berkenaan semakin ditolak rakyat Sabah.
Mungkin ada yang menempelak bahawa saya juga bermula daripada parti lain sebelum berhijrah ke Parti Harapan Rakyat Sabah, namun, tindakan saya pada Jun lalu itu tidak memberi kesan terhadap perubahan tampuk pemerintahan negeri, sebaliknya menyaksikan pembangunan di Kukusan dapat dilaksanakan.

Saya meminta semua pihak fokus terhadap pembangunan negeri selepas PRU-15. Saya percaya, majoriti rakyat Sabah juga mahukan perkara yang sama, bukannya mahu melihat kita sering bertukar kepimpinan.

Ia penting dalam kita membuktikan bahawa kedaulatan Sabah tidak mudah digugat oleh sesiapa pun.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles