SANDAKAN : Kebajikan belia akan menjadi antara keutamaan Calon GRS P186 Sandakan, Lau Chi Keong @ Thomas Lau, sekiranya diberikan mandat menjadi ahli parlimen Sandakan.
Katanya, pembangunan belia penting kerana ini akan memberikan peluang untuk mereka berjaya dalam pelbagai bidang.
“Belia adalah pewaris kepimpinan pada masa hadapan,” katanya.
“Maka dengan itu, penting bagi kita memperkasa belia dari masa ke masa termasuk memberikan mereka kemahiran dan pendidikan yang berkaitan,” tambahnya.
Katanya, isu-isu belia juga akan sentiasa dibawa ke parlimen bagi memastikan suara mereka terus didengar oleh pemimpin Negara.
Beliau berkata demikian pada Program Pentas Anak Muda di gelanggang futsal berbumbung, Kampung Sim-Sim, disini, petang Jumaat.
Lau juga menyeru agar belia bijak memilih pemimpin mereka pada 19 November ini demi kesinambungan program pembangunan positif yang memanfaatkan mereka.
Program itu dihadiri sekitar 200 belia dari komponen GRS, BN serta badan bukan kerajaan (NGO) di Sandakan.