SANDAKAN : Meskipun sibuk berkempen, calon Barisan Nasional (BN) Libaran, Datuk Suhaimi Nasir sempat meluangkan masa menziarahi golongan yang kurang bernasib baik.
Dalam ziarah itu, beliau bertemu dengan warga tua, kanak-kanak kelainan upaya dan orang sakit sambil mendengar permasalahan yang mereka hadapi.
Beliau berazam untuk meneruskan agenda membantu golongan tersebut sekiranya diberi peluang oleh rakyat di Parlimen Libaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Golongan ini memerlukan pembelaan dan perhatian sewajarnya, apatah lagi jika mereka datang dari latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.
“Banyak kos yang perlu ditanggung untuk menjaga ahli keluarga yang sakit dan atas dasar itu saya berazam mahu membela nasib mereka,” katanya ketika melawat warga emas di Kampung Tinusa 1, kelmarin.
Menurut Suhaimi, agenda membela nasib rakyat memerlukan adalah antara perjuangan beliau selain daripada membawa lebih banyak pembangunan untuk kawasan Libaran.
Katanya, ia bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan pembangunan modal insan berjalan seimbang.
“Kita ingin membangunkan Libaran bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi juga dari segi ekonomi dan rakyat agar ia bergerak seiring,” jelasnya.