Oleh: Jaafar Abd Wahid
BELURAN: UMNO Barisan Nasional (BN) mengekalkan calon bukan Islam bertanding di kerusi Parlimen Beluran bagi meneruskan tradisi dan keunikan UMNO di Sabah yang turut dianggotai Bumiputera bukan Islam.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata sebab itu BN Sabah mencalonkan bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Benedict Asmat untuk bertanding di Beluran pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Katanya, UMNO hanya meletakkan wakil bukan Islam sebagai calon di Beluran sejak sekian lama, malah penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee adalah bekas pemimpin UMNO bukan Islam yang diberi kepercayaan di Beluran selama lima penggal.
“Sebab itu di Beluran ini kita tidak meletakkan Ketua Bahagian UMNO, Julie Sabran sebagai calon.
“Di Beluran ini dari dulu memang wakil kita bukan Islam dan kita kekalkan sebab inilah keunikan UMNO di Sabah yang tiada di Semenanjung.
“Kita memilih Benedict kerana dia adalah pemimpin bukan Islam yang kita yakin dapat membawa perubahan di Beluran selepas tiada pembangunan ketara selama ini di bawah penyandangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pertemuan dengan jentera BN Beluran yang turut dihadiri Benedict, Julie dan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, di sini, hari ini.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata bukan mudah untuk BN mendapatkan kerusi Parlimen Beluran berikutan penyandangnya tetap mahu mempertahankan kerusi atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Bukan senang untuk mendapat kerusi ini kerana ia disandang Naib Presiden BERSATU (Ronald). Sampai jam 1 tengah hari, 4 November pemimpin BERSATU ada di rumah berunding minta kerusi ini tapi saya kata tidak.
“Sebab saya kata BN mesti ada pemimpin bukan Islam yang ada dalam UMNO di Beluran ini,” katanya.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah yakin Benedict mampu memenangi kerusi Parlimen Beluran meskipun terpaksa berdepan dengan Ronald yang membelakangkan GRS apabila menghantar pencalonan atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada hari penamaan calon, semalam.
Ini kerana Bung Moktar yang juga calon BN di kerusi Parlimen Kinabatangan, berkata kemenangan Ronald sebanyak lima kali di Beluran sebelum ini adalah atas kerja kuat BN.
“Orang yang sama, jentera yang sama, logo yang sama membantu Ronald menang sebanyak lima kali dan sekarang dia lawan kita.
“Jadi, tugas kita sekarang ialah jentera yang sama jangan lagi fikir apa-apa, kita menangkan saja calon kita di Beluran ini,” katanya.
Bung Moktar turut mempersoalkan apa yang dibawa Ronald kepada rakyat Beluran selama lima penggal menjadi Ahli Parlimen termasuk sebagai menteri.
“Apa yang dia bawa di Beluran ini selama lima penggal, termasuk sebagai menteri, saya lihat tiada apa juga.
“Bagus lagi saya di Kinabatangan, walaupun bukan menteri ada lagi pembangunan yang dapat dilihat,” katanya.
Berikutan itu, katanya BN perlu membawa perubahan di Beluran dengan memastikan calonnya diberi kemenangan pada 19 November ini.
Katanya, selaku orang Beluran, Benedict layak mengambil alih tugas Ronald selalu Ahli Parlimen untuk membawa lebih banyak pembangunan dan perubahan di daerah ini.
“Benedict ini diapun orang Beluran juga dan saya rasa dialah yang layak, orang kampung juga macam saya. Jadi bekerjalah kita dengan sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan BN di Beluran ini,” katanya.
Katanya, jika BN menang pada PRU15, beliau juga yakin Benedict akan mendapat tempat dalam kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, katanya beliau mengakui misi BN di Beluran begitu besar walaupun yakin kemenangan pasti berpihak kepada Benedict bersandarkan kerja bersungguh-sungguh jentera BN dengan kerjasama anggota GRS seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR.