KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor digesa supaya segera menyatakan pendirian berhubung tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang telah mengumumkan untuk meletakkan beberapa calon bagi mencabar Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha BN Sabah Datuk Jafry Arifin berkata ini penting bagi mengelakkan kekeliruan rakyat terhadap pendirian parti gabungan itu dalam soal kerjasama bersama parti yang mesra kerajaan GRS-BN.
“Seperti yang kita tahu, parti KDM telah menyatakan sokongan dan telah memohon menyertai GRS, tetapi pada masa yang sama, KDM sudah mengumumkan beberapa calon untuk mencabar calon-calon BN dan GRS dalam PRU15…ini membuatkan rakyat keliru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, Jafry yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah berkata Hajiji selaku Pengerusi GRS perlu memperjelaskan perkara itu demi kebaikan bersama.
Semalam, parti KDM mengumumkan untuk bertanding empat kerusi Parlimen pada PRU15.
Presidennya, Datuk Peter Anthony dipetik sebagai berkata bahawa KDM akan bertanding di kerusi parlimen Kimanis dan Sepanggar, Kota Kinabalu dan Kota Marudu
.Mengenai kedudukan KDM dalam GRS, Peter berkata, pihaknya masih belum menerima pengesahan permohonan menyertai gabungan itu.