KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melancarkan Portal Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS) di Menara Kinabalu, hari ini.
SYABAS merupakan inisiatif baharu Kerajaan Negeri yang diperkenalkan pada dalam Belanjawan 2022 bagi memacu gerakan pembangunan ekonomi serta pengukuhan potensi para belia Sabah.
Program ini merupakan inisiatif yang dirintis oleh Hajiji melalui aspirasi yang disuarakan generasi muda bagi membantu belia Sabah mengembangkan perniagaan sedia ada mahupun memulakan perniagaan baharu.
Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk Program SYABAS bagi menyediakan bantuan kewangan kepada para usahawan belia negeri Sabah.
Antara objektif Program SYABAS ialah membantu para belia memulakan perniagaan setelah kehilangan pekerjaan selepas Pandemik COVID-19, membantu para usahawan belia yang mempunyai produk untuk dikembangkan operasi perniagaan dan membantu membina para usahawan belia membina rangkaian antarabangsa melalui aktiviti perniagaan eksport/import bagi memampankan perniagaan para belia.
Sasaran program ini adalah belia Bumiputera Sabah yang berumur 18-40 tahun. Dana bagi belia yang ingin memulakan perniagaan dan mengembangkan perniagaan dalam bentuk bantuan kewangan kecil. Dana ini akan diselia oleh Kementerian Belia Sukan Sabah dengan kerjasama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR).
Para belia yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai SYABAS termasuk cara memohon skim itu boleh melayari laman web https://syabas.gov.my.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri, Encik Andi Muhammad Suryady Hj Bandy, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Encik Mansur Haji Asun dan Presiden Majlis Belia Sabah, Encik Abqaree Fawwaz Abekan