KIULU: Kawasan Rukun Tetangga MANTAP, Kiulu dan SK Malangang Baru
dengan kerjasama Pusat Kokurikulum Kem Malangang menyambut Hari Malaysia yang ke-59 dengan menampilkan kelainan.
Antara aktiviti yang dilaksanakan sempena sambutan itu ialah senaman pemanasan badan, perjalanan perpaduan, upacara menaikkan bendera dan Santai-santai mewarna murid-murid Tahap 1 dan Tahap 2.
Acara mewarna itu dikendalikan Cikgu Rodymond G. Omar dan dibantu Guru-guru pelatih daripada IPG Kent, Tuaran.
Pengerusi KRT MANTAP, Kiulu Encik Arifin Gadait dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya setiap warganegara menghayati kewujudan Negara Malaysia dan mempertahankannya untuk kelangsungan negara bangsa yang berdaulat dan bertamadun.
Sambil menyambut baik penganjuran program itu, beliau berharap acara itu dapat diadakan setiap tahun demi untuk menyemarakkan rasa cinta berterusan kepada negara Malaysia.
Terdahulu, Guru Besar Encik John Wayne Linggang berharap kolaborasi yang melibatkan komuniti dan sekolah iti akan berterusan demi mencapai aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Sambutan Hari Malaysia itu dihadiri sekitar 150 orang meliputi warga guru, pelajar, ibubapa dan ahli KRT MANTAP, Kiulu.
Acara kemuncak pada majlis itu ialah penyampaian hadiah kepada pemenang santai-santai mewarna murid-murid Tahap 1 dan Tahap 2 yang telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran Puan Dalitah Madin dan Penolong Kanan Kokum Puan Retiah @ Liza Tim.
Semua hadiah disumbangkan KRT MANTAP, Kiulu.