oleh Dr Lee Kuok Tiung
Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 September 2020 menggunakan logo parti sendiri.
Apakah PBS pasrah dengan senario politik semasa yang membingungkan sehinggakan memilih menggunakan simbol sendiri? Perlukah untuk akan datang PBS terpaksa memilih salah satu di antara BN dan PN? Prestasi PBS pada PRN16 Sabah lebih baik sedikit tetapi pencapaian STAR juga meningkat mendadak faedah daripada PN.
Apakah itu merupakan indikator kebangkitan semangat 86’ (1986) PBS yang berjaya menguling parti pemerintah sebelumnya dan mengambilalih kerajaan negeri? Atau sekadar nasib saja?
PRN16 Sabah telah menyaksikan pertindihan sesama sendiri parti-parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebuah perikatan politik eksklusif untuk Sabah yang diumumkan hanya selepas penamaan calon pada 12 September 2020.
Parti Bersatu Sabah (PBS) pada asalnya berhasrat tanding 15 kerusi berakhir dengan tanding 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bertembung dengan hampir semua parti-parti komponen GRS seperti UMNO di DUN Melalap, Bengkoka, Tanjung Aru dan Telupid, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) di Matunggong, Tandek dan Kadamaian, MCA di Kapayan dan Karamunting; STAR di Bengkoka, Tandek, Matunggong, Inanam dan Api-Api.
Ungkapan Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Agong PBS pada Ketika itu “Siapa radu siapa?” (“Siapa langar siapa?” & “Who went against who?”) merupakan persoalan menarik yang harus dikupas.
Rundingan demi rundingan telah dilakukan untuk cuba mengelakan pertembungan sehinggalah kemuncaknya Majlis Perjumpaan bersama Kepimpinan Parti Sabah pada 11 September 2020 untuk cuba mencapai konsensus menyelesaikan pertindihan kerusi.
Meskipun ada pemimpin yang telah memberikan bayangan ‘perlawanan persahabatan’ direstui, keputusan PRN16 Sabah jelas memberitahu merugikan.
Tiada isu besar dengan pengagihan kerusi-kerusi majoriti Bumiputera Islam di mana UMNO dan PPBM kelihatan berjaya menyelesaikannya dengan baik tetapi polemiknya adalah pada kerusi KDMR apabila PBRS sebagai parti komponen BN dan STAR parti komponen PN seolah-olah mempunyai upper hand memilih terlebih dahulu kerusi-kerusi yang diingini.
PBS ‘diserang dari pelbagai penjuru’ dilabel sebagai keras kepala enggan bertolak ansur tetapi adakalanya memang sukar membezakan di antara keras kepala (stubborn) dengan prinsip.
PBRS dan STAR sudah mengumumkan kerusi-kerusi dan calon-calon sebelum rundingan berakhir.
PBS lagi tidak senang hati apabila kerusi tradisi yang dimenangi seperti Matunggong dan Tandek juga ingin diambil oleh PBRS dan STAR.
PBS perlu terima hakikat bahawasanya sebagai parti PN plus sahaja secara mudah meletakkan diri mereka sebagai parti ‘kelas kedua’ (second-class) dalam kerjasama politik tersebut.
Dalam erti kata lain mediocre sahaja dan tidak akan menikmati keistimewaan sepertimana parti-parti di dalam perikatan tersebut.
Hakikat ini memberikan gambaran pertembungan tidak mungkin dapat dielakkan sekali lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Jadi persoalannya untuk PRU15 akan datang berapakah jumlah kerusi yang akan dibahagikan kepada PBS? Apakah kekalkan status quo jumlah kerusi yang diberikan BN kepada PBS atau akan ada tawar-menawar lagi mahupun pertukaran kerusi?
Adakah PBS layak dipertimbangkan mendapat ‘kerusi selamat’ parlimen P.170 Tuaran yang kebetulan ADUN N. 12 Sulaman, Datuk Seri Haji Panglima Hajiji Noor merupakan Ketua Menteri Sabah, merangkap Pengerusi PPBM Sabah di samping Presiden Persatuan Masyarakat Bajau Sama Sabah (PMBSS). Atau UMNO juga akan berebut dengan PPBM di situ?
Apakah PRU15 akan berakhir dengan ‘pertandingan persahabatan’ sekali lagi menyaksikan pendekatan biarlah parti atau calon terbaik menang. Sememangnya sudah sedaya-upaya mengelakkan pertindihan pada PRN 16 tetapi berakhir dengan ‘pertandingan terbuka’ (free for all).
Sukar juga untuk menolak PRN16 Sabah dilakukan secara mengejut merupakan salah satu punca pertindihan tersebut gagal diselesaikan. Masa yang ada begitu singkat pada ketika itu.
Tambahan lagi, tiada parti GRS yang bersedia menghadapi PRN16 Sabah kerana rata-rata menaruh harapan mahkamah akan membatalkan pembubaran DUN Sabah.
Jangan lupa drama ini berlanjutan sehingga saat-saat akhir hari sebelum penamaan calon.
Tan Sri Musa Aman telah mencabar pembubaran DUN Sabah ke mahkamah atas sebab beliau sudah mempunyai majoriti sokongan ADUN dan dengan alasan pilihan raya perlu dielakkan atas sebab negara sedang dilanda pandemik COvid19 tetapi dimomokkan oleh Warisan plus yang penuh yakin percaya mampu mempertahankan kerajaan ‘pintu belakang’ yang berjaya dibentuk pada 12 Mei 2018 hasil budaya Katak Sabah.
Apa yang jelas pada ketika ini ialah PRU15 akan berlaku. Sesuatu yang tidak dapat dielakkan pastinya lambat-lanun berlaku juga malahan mungkin lebih cepat lebih bagus supaya semua boleh bergerak ke bab seterusnya.
PBS ini sekarang sebenarnya PN plus atau BN plus atau kedua-duanya? Atau jawapannya PBS merupakan parti komponen GRS?
Jadi, apakah PBS ini dalam dilema ataupun tiada dilemapun sebenarnya?
Senario politik di Semenanjung yang dilihat “ada sedikit gerakan gelombang” turut memberi sedikit “karanaban” (kerisauan) kepada pimpinan PBS yang kini bukan anggota PN mahupun BN.
Namun penyokong PBS yakin presiden parti itu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mampu dan bijak mencongak atur haja tuju politik parti tertua di Sabah itu.
Seorang pemimpin PBS pernah berkata fokus kepada usaha memantapkan GRS untuk membentuk Blok Borneo dengan bergabung tenaga dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Mungkin itulah jawapannya.
Prof Madya Dr Lee Kuok TiungKetua Program Komunikasi
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan
Universiti Malaysia Sabah