KOTA KINABALU – Kenyataan media oleh Pesuruhjaya Polis Sabah berkenaan kemungkinan pengeboman militan JI di Bali yang boleh berlaku di Sabah bukanlah suatu yang boleh dipandang remeh.
Ia juga bukanlah berniat mewujudkan suasana panik di kalangan masyarakat tetapi sebagai peringatan bahawa negeri Sabah amat terdedah kepada ancaman pengganas jika kedaulatan negara terus dibolosi.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata, semua pihak khasnya masyarakat umum di Sabah diharap tidak menerima dengan mudah sebarang propaganda yang cuba disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab apatahlagi jika ia berbaur dengan fahaman subversif dan ekstremisme.
Malah, masyarakat juga harus peka kepada semua perkembangan di kawasan kediaman mereka dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan ataupun kehadiran mereka yang tidak dikenali tanpa perlu bertindak sendiri, katanya.
“Kita perlu mengelak daripada menjadi kambing hitam kepada penjenayah rentas sempadan yang bukan sekadar mahu menjadikan Sabah sebagai transit malah mahu merekrut rakyat tempatan untuk menyertai mereka,” katanya.
Zaki berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah yang dikeluarkan oleh salah sebuah portal di Sabah hari ini.
Pada masa yang sama, beliau berkata rakyat meminta supaya titik akhir perintah berkurung yang berakhir di Pelabuhan Tawau diperluaskan hingga ke kawasan perairan Kalabakan supaya aktiviti jenayah dapat dibendung dengan lebih berkesan.
“Kita tidak mahu semua usaha yang dibuat hanya bersifat melepaskan batuk di tangga kerana perairan dari Pelabuhan Tawau ke Kalabakan amat terdedah kepada aktiviti jenayah khasnya pencerobohan masuk warga asing ke wilayah Malaysia,” katanya.