Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia Perkasa Pendigitalan Pendidikan

KOTA KINABALU: Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia merupakan sebuah usaha kerajaan untuk memperkasakan agenda Pendigitalan Pendidikan.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, inisiatif itu juga bagi membantu proses pembelajaran mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok B40.
“Ia merupakan komitmen kerajaan Keluarga Malaysia dalam memastikan para pelajar tidak ketinggalan terutama dalam kalangan B40 serta merapatkan jurang digital antara semua kelompok di Malaysia.
“Adalah diharapkan PerantiSiswa Keluarga Malaysia dapat menjadi pembakar semangat untuk terus memastikan kecemerlangan akademik dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penyampaian 100 tablet Bantuan PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar IPT B40 di Dewan Kolej Kediaman Tun Fuad UMS, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff.
Noraini berkata, inisiatif di bawah Belanjawan 2022 itu diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Permohonannya telah dibuka sejak April lepas dan semakan telah bermula pada 29 Ogos 2022.
“Justeru, saya menyeru kepada semua pelajar IPT B40 yang masih belum memohon, segera untuk membuat permohonan dalam fasa ke-2 yang masih dibuka sehingga 30 September 2022,” katanya.
Sementara itu, Raman dalam ucapannya berkata, komitmen kerajaan pada hari ini dalam memastikan semua kelompok masyarakat tidak ketinggalan harus dipuji.
“Adalah diharapkan para pelajar yang layak menerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia dapat menggunakan peranti ini sebaik mungkin sepanjang perjalanan menamatkan pengajian di universiti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi atas komitmen berada di UMS pada hari ini dan menyerahkan sendiri PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar,” katanya.
Pada majlis tersebut Noraini menyampaikan 50 tablet kepada pelajar UMS, 20 kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, dan masing-masing 10 tablet kepada Politeknik Kota Kinabalu, Kolej Antarabangsa Almacrest dan Kolej Cyberjaya Kota Kinabalu.
Beliau turut meluangkan masa dalam program Sarapan Menu Keluarga Malaysia dan Sesi Ramah Mesra bersama pasukan Misi Sukarelawan Siswa Yayasan Sukarelawan Siswa ke Sabah, serta melancarkan Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 Peringkat Negeri Sabah 2022.
Yang turut hadir  Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Apli Yusoff, Pengerusi Education Malaysia Global Service (EMGS) Datin Maizatul Akmam Hj. Alawi, Rektor UiTM Cawangan Sabah Prof. Madya Datuk Dr. Hj. Abdul Kadir Hj. Rosline dan Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Dullah Muluk.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles