IPMB terima kunjungan Timbalan Menteri Kewangan II sempena Jelajah Bajet 2023

KOTA KINABALU – Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan daripada Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa yang membuat lawatan ke Akuarium dan Muzium Marin serta Hatceri Ikan baru-baru ini.
Menurut kenyataan dari IPMB, lawatan tersebut bersempena dengan sesi Jelajah Bajet 2023 yang diadakan di Galeri Azman Hashim, UMS.
“Semasa lawatan tersebut, beliau diberi penerangan tentang usaha-usaha IPMB dalam meningkatkan industri akuakultur seperti pengkulturan ikan, latihan dan bengkel kepada pelajar dan komuniti serta penyelidikan yang telah dan sedang dijalankan.
“IPMB mempunyai akuarium dan muzium marin yang menjadi salah satu tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Sementara hatceri pula dijadikan hab penyelidikan dan tempat pembenihan ikan,” demikian menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan di sini hari ini.
Dalam lawatan tersebut juga, Yamani Hafez turut kagum melihat projek arca dipanggil Dasar Lautan yang dibuat oleh pelajar UMS menerusi bahan kitar semula dan sisa plastik yang dikutip dari pantai ODEC UMS.
Sementara itu, semasa sesi Jelajah Bajet 2023 yang memfokuskan isu konservasi, turut terlibat dalam sesi tersebut ialah wakil dari agensi kerajaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) dan IPMB.
IPMB dan IBTP yang masing-masing diwakili Pengarah, Prof. Ts. Dr. Sitti Raehanah Muhamad Shaleh dan Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi IBTP, Prof. Madya Dr Liew Thor Seng juga dijemput untuk membentangkan isu fokus, hasil penyelidikan dan cadangan dari kedua-dua pihak institut dalam konservasi marin dan biodiversiti.
Dr. Nurzafirah Mazlan, pensyarah IPMB bertindak sebagai pemudah cara sepanjang sesi Focus Group Discussion yang berlangsung selama 2 jam.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rasid Mail.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles