Siapa Calon Kerusi pinggiran bandaraya Kota Kinabalu – Parlimen Putatan?

Oleh Penganalisa politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Lee Kuok Tiung

Advertisements

KOTA KINABALU: Parlimen P.173 Putatan pada dasarnya merupakan kawasan semi-bandar (outskirts) yang dikelilingi oleh tiga parlimen pembangkang iaitu P.174 Penampang, Darel Leiking dan P.175 Papar, Ahmad Hassan dari Parti Warisan, serta P.172 Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dari DAP.

Keunikan Putatan ini adalah merupakan kawasan yang perlu dilalui oleh penduduk dari sekitar P.175 Papar, P.176 Kimanis, P.177 Beaufort sampailah ke P.178 Sipitang mahupun Negara Brunei Darulssalam dan wilayah jiran sebelah Sarawak yang ingin ke bandaraya Kota Kinabalu.

Pada ketika ini parlimen Putatan disandang oleh Awang Husaini Sahari dari PKR.

Pada dasarnya Putatan merupakan kerusi majoriti KDMR (Bumiputera Sabah) dijangka akan bertukar menjadi kerusi campuran menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Kerusi parlimen yang hanya digazetkan dan pertama kali dipertandingkan pada PRU ke-11 pada 21 Mac 2004 asalnya dikongsi bersama P.151 Tanjong Aru, P.152 Penampang dan P.153 Papar. BN telah berikannya kepada parti komponen UPKO Datuk Marcus Mojigoh sebelum ini.

Berdasarkan Statistik Pemilih Mei 2022, Parlimen P.173 Putatan mempunyai 62,930 pengundi. Peningkatan mendadak daripada jumlah 43,054 pengundi pada 29 Julai 2020 adalah disebabkan pindaan pada perenggan (a), Fasal 1, Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan umur minimum mengundi dari 21 kepada 18 tahun dan Perkara 119(4) pendaftaran secara automatik yang menyaksikan pertambahan 5.8 juta pengundi di seluruh negara.

Pertambahan 19,876 pengundi sebenarnya cukup mengerunkan bagi sesetengah pihak yang berminat bertanding kerusi Putatan pada PRU ke-15 akan datang.

Penganalisa politik Dr Lee Kuok Tiung

Usaha gigih harus diletakkan untuk memahami aspirasi pengundi pertama kali yang berumur 18 hingga 20 tahun meskipun dijangkakan hanya di bawah 27% daripada tambahan daftar pemilih tersebut.

Pelajar tingkatan enam sudah pastinya akan beramai-ramai balik ke sekolah untuk mengundi seperti salah satu aktiviti rutin sekolah. Penuntut-penuntut di istitusi-institusi pengajian tinggi yang tidak berjauhan dengan kampung juga sudah pastinya ingin balik mengundi.

Jadi persoalannya siapakah pemimpin pendapat (opinion leaders) yang mampu mempengaruhi pola pengundian mereka? Jikalau guru-guru atau pensyarah apakah usaha yang setimpal telah dilakukan sebagai engagement dengan mereka?

Kiranya peratusan keluar mengundi di Putatan kekal 77.1% atau jatuh kepada 73% dengan andaian yang selama ini tidak berdaftar sebagai pengundi tiba-tiba menjadi pengundi disebabkan pendaftaran secara automatik itu tidak akan berubah fikiran untuk keluar mengundi, keputusan-keputusan pilihan raya yang lepas mendedahkan peratusan keluar mengundi (voter turnout) yang tinggi selalunya memihak kepada pembangkang. Dalam konteks Putatan pernah menyaksikan peratusan keluar mengundi ialah 79.9% iaitu pada tahun 2013 dan dimenangi oleh BN-UPKO.

Keputusan PRU14 pada 2018 menyaksikan calon PH-PKR Awang Husaini Sahari menewaskan penyandang kerusi Makin @ Marcus Majigoh dengan memperolehi 14,106 undi (34.1% daripada 41,312 pengundi berdaftar pada ketika itu). Ini juga bermakna PKR menewaskan Makin @ Marcus Majigoh (BN – UPKO) yang memperolehi 11,767 undi (28.5%) dengan majoriti 2,339 undi.

Suatu margin yang boleh diterbalikkan bila-bila masa atau tiada jaminan mampu pertahankan kerusi tersebut dengan mudah.

Berdasarkan daftar pemilih pada 29 Julai 2020, terdapat 43,054 pengundi bagi kawasan parlimen Putatan dengan 9,545 pengundi (22.17%) pengundi Melayu, 6,761 pengundi (15.7%) Cina, 320 pengundi (0.74%) India, 23,366 pengundi (54.27%) Bumiputera Sabah.

Begitupun jikalau melihat dari perspektif agama, Bumiputera Islam lebih tinggi daripada Bumiputera bukan Islam iaitu 69.24% berbanding 14.35%.

Pengundi-pengundi ini pula terbahagi kepada tiga DUN iaitu N22 Tanjong Aru (14,941 pengundi), N23 Petagas (13,763 pengundi) dan N24 Tanjong Keramat (14,350 pengundi).

Keputusan PRN Sabah 2020 menyaksikan calon Warisan menang di N.22 Tanjung Aru [Warisan Junz Wong 5,685 vs UMNO 2,538 vs PBS Edward Yong 647] dan N.23 Petagas [Warisan Awang Ahmad Sah 4,125 vs Bersatu Arsit Sedi 3,864] manakala kerusi baharu N.24 Tanjung Keramat berjaya dimenangi oleh calon UMNO YB Datuk Shahelmey Yahya [4,594 vs Warisan Rosdy Wasli 3,470].

Ini juga bermakna parti Warisan berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi DUN yang dimenangi mereka pada PRU ke-14 yang diadakan pada 9 Mei 2018 (DUN Tanjung Keramat merupakan DUN baharu yang belum digunapakai pertama kali pada pilihan raya Sabah 2020.9

Pengundi Bumiputera Sabah (tanpa mengambilkira agama) mengikut pecahan di ketiga-tiga DUN juga adalah Tanjung Aru 48.79 % (7,289 pengundi), Petagas 64.83% (8,923 pengundi) dan Tanjung Keramat 49.85% (7,154 pengundi).

Pengundi Cina secara keseluruhannya hanyalah 15.43%. Biarpun jumlahnya kecil, ia tetap boleh memainkan peranan signifikan (tidak semestinya kingmaker la) untuk menentukan siapakah pemenang [Tanjung Aru 29.69% (4,436 pengundi), Petagas 7.61% (1,047 pengundi) dan Tanjung Keramat 8.91% (1,278 pengundi) terutamanya jikalau undi Bumiputera Islam terbahagi sama rata di antara Warisan dan UMNO. Kelebihan sudah pastinya memihak kepada Warisan sekiranya UMNO tidak jadi bekerjasama dengan GRS untuk PRU15.

Undi Bumiputera bukan Islam dijangkakan akan dikongsi bersama di antara PBS dengan STAR. Pada Pilihan raya Sabah 2020 jelas kedua-dua UPKO dan PBRS tidak mampu menyumbang undi KDMR secara signifikan kepada perikatan parti politik masing-masing.

Jadi siapakah yang selayaknya menjadi calon bagi kerusi parlimen Putatan?

Rangkuman ke atas teka-teki dan “cerita kedai kopi” menunjukkan begitu banyak sekali nama-nama yang disebut akan menjadi calon Putatan.

Hal ini kerana kerusi yang terdiri daripada pengundi etnik Kadazandusun, Cina, Brunei, dan Bajau yang diwujudkan pada tahun 2004 merupakan kerusi tradisi yang diperuntukkan kepada UPKO oleh Barisan Nasional (BN) dan PKR yang kini merupakan rakan bersama UPKO dalam Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sudah pastinya nama-nama yang muncul ada yang merupakan penamaan-penamaan yang ingin menawarkan diri sebagai calon dan (satu lagi kategori lain) calon-calon berpotensi yang dikenalpasti oleh pasukan-pasukan penyelidik yang sebahagiannya merupakan badan-badan pemikir (think-tank) kepada parti-parti politik dan penyelidik-penyelidik berkecuali misalannya daripada universiti-unversiti dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).

Nama-nama daripada UMNO yang disebut-sebut berpotenasi menjadi calon sekiranya UMNO bertanding kerusi parlimen Putatan adalah Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohammad, ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Datuk Hj. Hasnol Ayub.

Ir. Shahelmey yang juga merupakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah nampak berprestasi sangat baik serta dilihat pemimpin pelapis UMNO Sabah yang ingin diketengahkan ke peringkat persekutuan.

Nama Mohd Isquzawan Israq Arsit pula diwar-warkan sebagai calon Bersatu jikalau Bersatu mendapat kerusi Putatan. Bersatu yang bekerjasama dengan PAS di peringkat nasional apakah akan mempunyai kelebihan sekiranya mendapat pertolongan daripada PAS kerana pada PRU14 calon PAS Zulzaim Hilmee Abidin memperolehi 2,434 undi di Putatan.

Sekiranya kerusi Putatan diberikan kepada UPKO dalam BN atas kuota KDMR, apakah sekarang kerusi tersebut harus diberikan kepada STAR atau PBS daripada GRS? Antara nama-nama daripada PBS yang disebut adalah Ketua Bahagian PBS Petagas pada ketika ini En. Azmi Hj Ahmad dan sdr. Ng Tze Sai yang berbangsa Sino telah memberi laluan kepada Azmi untuk menjadi KB PBS Petagas yang baharu dalam pemilihan parti PBS baru-baru ini. Nama Ng muncul apabila dikatakan outstanding menghidupkan semula bahagian PBS Petagas di samping sikap peramah beliau yang pandai cakap dua dialek Cina, Kadazandusun dan juga sedikit-sedikit bahasa Bajau. Beliau pada ketika ini masih merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS.

STAR juga difahamkan telah meluahkan hasrat mereka bertanding di Putatan dengan nama Philip Among disebut-sebut sebagai calonnya.

Tidak lupa juga parti KDM mungkin turut berminat dengan kerusi parlimen Putatan atau Papar.

Memandangkan kerusi parlimen Putatan pada ketika ini disandang oleh PKR, apakah UPKO akan menyerah kerusi tradisi mereka kepada PKR kerana sudah bersama-sama menjadi rakan kerjasama dalam PH? Secara logik dan simplistik tidak mustahil PKR Tuaran berkorban untuk Presiden UPKO manakala di kerusi Putatan UPKO menzahirkan sokongan mereka kepada PKR. Suatu urusniaga atau transaksi berdasarkan sistem barter yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Parti Warisan telah menunjukkan kekuatan dan populariti di situ apabila mengekalkan kedua-dua DUN Tanjung Aru dan Petagas.

Setakat ini, Warisan belum menyatakan secara rasmi hasrat untuk bertanding kerusi parlimen Putatan.

Difahamkan, Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan Datuk Seri Anifah Aman sedang menimbang kemungkinan untuk meletakkan calon di kerusi pinggiran bandaraya Kota Kinabalu itu.

Antara nama yang disebut-sebut calon PCS ialah setiausaha agung PCS Mohd Ustar Abdul Ghani.

Mohd Ustar yang berkelulusan Undang-undang dari UK merupakan anak jati Putatan.

Di sebelah PH meskipun tiada istilah kerusi tradisi milik siapa-siapa kerana sejarah menunjukkan 2013 ditandingi oleh Dr. Lee Han Kyun @ Joseph Lee daripada DAP (kini beliau bersama PBS), manakala dua siri pilihan raya sebelum itu adalah calon daripada PKR iaitu pada PRU12 yang diadakan pada 2008 ditandingi oleh Saukinah Yussof manakala PRU ke-11 (2004) Awang Ahmad Sah mewakili KeAdilan (kini PKR) yang mana kedua-duanya tewas kepada Marcus Mojigoh.

Apa-apapun tawar-menawar dan lobi-melobi sudah pastinya sedang hangat berlaku pada ketika ini dan semangat setiakawan dengan rakan seperjuangan sedang teruji pada tahap termaksimumnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles