KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal meraikan seramai 4,319 graduan bagi tahun 2021 pada Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-23.
Berlangsung di Dewan Canselor UMS, sejumlah 4,319 graduan melibatkan 77 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 357 graduan Ijazah Sarjana, 3,664 graduan Ijazah Sarjana Muda, 134 graduan Diploma dan 87 graduan Diploma Pascasiswazah akan diisytiharkan pada majlis tersebut.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin memberitahu, daripada jumlah tersebut, seramai 204 graduan adalah penerima Ijazah Kelas Pertama, selain 99 graduan merupakan pelajar antarabangsa UMS dari pelbagai negara antaranya dari China, Brunei, Indonesia, Bangladesh, Timor Leste, Pakistan, Korea Selatan, Iran, Zanzibar, Vanuatu, Arab Saudi dan India.
“Majlis Konvokesyen turut meraikan 9 graduan kategori orang kelainan upaya, 164 graduan kategori Kumpulan Isi Rumah Berpendapatan 40% Terendah (B40), serta 2 graduan Posthumous (meninggal dunia sebelum dianugerahkan).
“Pada majlis ini juga UMS akan menyampaikan beberapa anugerah kepada graduan yang cemerlang iaitu Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera), Anugerah Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera), Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor, Pingat Emas Alumni, Hadiah Zainal Abidin Bador, Hadiah Tun Zaki (Tempatan), Hadiah Tun Zaki (Antarabangsa), dan Anugerah Kecemerlangan dan Bakti Siswa HiUMS” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sesi kunjungan hormat rombongan UMS ke Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Kunjungan hormat tersebut adalah bagi pemakluman berkaitan Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-23 yang akan diadakan pada 25 hingga 27 Jun ini kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS.
Majlis konvokesyen pada kali ini juga menyaksikan seramai 2,376 graduan program prasiswazah dari gugusan Sastera diraikan, melibatkan graduan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Fakulti Pengajian Islam, dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif.
Manakala graduan prasiswazah dari gugusan Sains adalah seramai 1,198, melibatkan graduan Fakulti Sains dan Sumber Alam, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Komputeran dan Informatik, Fakulti Pertanian Lestari, dan Fakulti Perhutanan Tropika.
Istiadat pembukaan Majlis Konvokesyen UMS Ke-23 yang berlangsung pada 25 Jun ini dijangka akan disempurnakan oleh Tun Juhar, yang turut menyampaikan ijazah kepada 651 graduan Pascasiswazah dan Prasiswazah.
Hadir sama pada kunjungan hormat tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Bendahari UMS, Badrul Ismail.
Turut hadir Dekan Fakulti Perhutanan Tropika, Prof Madya Dr Normah Awang Besar; Menjalankan fungsi Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK), Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim; Pemegang Kursi Perhutanan Kelvin Tan Aik Pen, Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad; dan Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) PPSKK, Dr Norhuda Salleh.
UMS Bakal Rai 4,319 Graduan Pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-23 25 Hingga 27 Jun Ini
Advertisements