ESSCOM Lancar Operasi Maritim Khas Selatan Daerah Tawau Gempur Penjenayah Rentas Sempadan

LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah melancarkan Operasi Maritim Khas Selatan Daerah Tawau meliputi kawasan perairan Tawau dan Pulau Sebatik.

Advertisements

Komander Eastern Command DCP Hamzah Ahmad berkata operasi khas itu, antara lain bertujuan mengekang jenayah rentas sempadan, terutama aktiviti penyeludupan barangan kawalan/harian dan mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurutnya jenayah rentas sempadan itu
telah menjadi ancaman kepada masyarakat setempat dan keselamatan negara serta merosakkan ekonomi negara.

“Kehadiran pasukan keselamatan di kawasan yang telah dikenalpasti sebagai laluan tikus melalui Operasi Maritim Khas Selatan Daerah Tawau yang dikoordinasikan ESSCOM telah dapat mengekang kemasukan PATI yang berkemungkinan terlibat dengan aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Di samping itu, ia mengurangkan ketirisan hasil pendapatan negara akibat aktiviti penyeludupan di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hamzah berkata operasi itu turut menguatkuasakan Arahan Perintah Berkurung di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) dan mencegah penyusupan elemen-elemen pengganas/penjenayah rentas sempadan seperti Abu Sayyaf Group (ASG) dan Kidnap for Ransom Group (KFRG) ke negara ini.

Beliau berkata operasi itu melibatkan kerjasama pegawai dan anggota agensi keselamatan dan penguatkuasaan, termasuk Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Markas Angkatan Tugas Bersama 2 serta Ibu Pejabat Polis Daerah, Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah Tawau.

Hamzah berkata ESSCOM akan mempergiatkan operasi di laut dan udara bersama-sama semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta kemasukan PATI ke ESS Zone.

“ESSCOM juga ingin menegaskan bahawa tindakan lebih keras akan diambil ke atas mana-mana individu/kumpulan yang terlibat dengan jenayah rentas sempadan di ESS Zone,” katanya

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya melaporkan segera ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles