Perintah berkurung di perairan tujuh daerah ESSZone dilanjut sehingga 24 Jun

LAHAD DATU: Perintah berkurung membabitkan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok dilanjutkan sehingga 24 Jun ini. 
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata perintah dari 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
“Penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dikehendaki berada di rumah manakala orang luar tidak dibenarkan memasuki (atau berada) di kawasan tersebut dalam tempoh berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata perintah itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas sekali gus mengancam keselamatan penduduk termasuk penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.
“Maklumat mendapati kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk mendapatkan tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh kawasan ini untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan yang lain,” katanya.
Idris berkata perintah itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada penduduk maritim dengan kehadiran pasukan keselamatan.
Katanya semua Ketua Polis Daerah di ESSzone diberi kuasa mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak lain untuk melalui kawasan dikenakan perintah berkurung itu.
— BERNAMA

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles