Dua Mukim Baharu Dijangka Diwujudkan di DUN Sook

SOOK: Dua lagi mukim baharu, yang sedang diperjuangkan oleh Adun Sook Datuk Ellron Angin, dijangka diwujudkan, sekaligus merancakkan lagi pembangunan di kawasan itu.

Advertisements

Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan Negeri berkata pewujudan dua mukim baharu DUN Sook itu kini dalam proses pelaksanaan.

Menurutnya sekiranya semua yang dirancang berjalan lancar, pewujudan mukim baharu itu diyakini dapat melicinkan lagi pentadbiran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarat (UPPM) Sook.

Ellron berkata demikian ketika berucap pada Majlis 3 Dalam 1 Kampung iaitu Hari Raya, Pesta Kaamatan dan Kesyukuran di Namadan Baru, dekat sini pada Khamis.

Sebagai wakil rakyat DUN Sook, Ellron berkata pelan perancangan bagi maksud itu amat penting bagi memastikan keperluan setiap kampung dapat diperincikan seterusnya tindakan susulan dapat diambil.

“Inilah yang kita mahukan agar setiap kampung di DUN Sook mendapat limpahan pembangunan menerusi pewujudan mukim baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Ellron berkata permohonan untuk mewujudkan mukim baharu itu bukan sesuatu yang mudah “memandangkan beberapa kriteria dan prosedur perlu dipatuhi terlebih dahulu” termasuk mengambil kira keluasan dan komposisi penduduk setiap mukim.

Selain itu, beliau menggesa agar pemimpin-pemimpin masyarakat di peringkat mukim dan kampung bekerjasama dengan pihak UPPM Sook bagi merealisasikan hasrat murni itu.

“Pewujudan mukim baharu di DUN Sook adalah satu gesaan penting dan perlu dilaksanakan, ini memandangkan terdapat beberapa mukim di Sook seperti mukim Sook dan Ansip mempunyai keluasan yang besar dari segi geografi dan demografi serta bilangan penduduknya yang banyak” kata Ellron.

Beliau yakin mukim baharu tersebut pasti akan memberi manfaat terutama, kampung-kampung yang berstatus kampung penaja.

Ellron berharap pewujudan mukim baharu itu dapat direalisasikan secepat mungkin agar segala keperluan setiap kampung dapat dipenuhi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan Sabah, Tuan Jre Jreneus Pagut, PPM Sook Tony Talasoi, Ketua Kampung Namadan Baru Michael Galun dan Pengerusi JPKK Puan Chang Siaw Chin.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles