Oleh: Jaafar Abdul Wahid
KOTA KINABALU: Pelbagai aspek perlu diteliti bagi memastikan Barisan Nasional (BN) khususnya di Sabah benar-benar telah bersedia menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-15.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata bersedia bukan sekadar ungkapan yang mudah dilaungkan dengan sorakan tanpa perancangan yang rapi.
Menurut beliau persediaan itu merangkumi pelbagai aspek termasuk keupayaan sumber, persiapan jentera dan strategi untuk menang menundukkan lawan.
“Pelbagai aspek perlu diteliti untuk BN agar benar benar berada dalam kedudukan bersedia bagi menghadapi (PRU)ke-15 kerana matlamat utama kita ialah mengambil alih semula pemerintahan negara,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Umno Sabah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin dalam ucapannya di Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 di dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra.
Ismail Sabri dipetik sebagai berkata jika BN sudah bersiap sedia beliau tidak akan melewatkan sesaat pun PRU-15 seperti dipersetujui semasa Perhimpunan Agung Umno yang lalu.
Sehubungan itu, Bung berharap kesiapsiagaan jentera BN terutama di Sabah dapat dipertingkatkan dan menganggap PRU ke-15 sebagai agenda penting yang akan menentukan masa depan parti dan negara.
” Bagi menghadapi waktu yang semakin hampir menghadapi PRU ke-15 ini segala gerak kerja dan persiapan perlu diperkemaskan sebaiknya, selain kekerapan turun padang mendekati rakyat, daftar pengundi perlu dikemaskini, termasuklah pengundi muda 18 tahun yang turut mempengaruhi bentuk sokongan kepasa BN…justeru pendekatan yang sesuai kepada golongan ini perlu diselaraskan agar mereka berpihak kepada BN,” katanya.
Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno turut mengingatkan jentera dan anggota parti BN di Sabah agar tidak berada di zon selesa setelah melihat dua kemenangan BN dalam pilihanraya negeri Melaka dan Johor kerana menurut beliau situasi dan sikap pengundi adalah berbeza.
“Jentera parti perlu menanamkan iltizam bahawa BN Sabah akan menjadi penyumbang terbesar dalam PRU ke-15 nanti, jadi ketepikan dulu soal calon yang penting kita perlu bekerja keras mendekati rakyat diakar umbi agar perjuangan BN benar-benar dapat diterima oleh rakyat,” katanya.
Tambah Bung, Konvensyen ke-48 baru-baru ini memperlihatkan soladiriti pemimpin BN justeru semangat yang ada perlu dibawa ke kawasan masing-masing dengan semangat muafakat berpaksikan perjuangan BN yang sebenarnya membela rakyat dan memakmurkan negara.