Bawa isu 40% ke mahkamah, saya laksanakan amanah sebagai ADUN: Ewon

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, tindakan beliau memfailkan saman pemula ke atas Kerajaan Malaysia berhubung pungutan semula hasil persekutuan 40 peratus untuk Sabah adalah amanah yang dilaksanakan selaku seorang ADUN.

Advertisements

“Saya telah mengangkat sumpah sebagai ADUN dengan menumpahkan taat setia kepada Negeri Sabah dan kepada Persekutuan Malaysia serta akan memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sabah.

“Pemberian semula hasil persekutuan di Sabah sebanyak 40 peratus dinyatakan dalam Perkara 112 C & D Perlembagaan Persekutuan. Hasil ini penting untuk pembangunan rakyat Sabah dan merupakan antara syarat penubuhan negara ini melalui Perjanjian Malaysia.

“Justeru, saya percaya saya telah melaksanakan amanah sebagai ADUN yang telah bersumpah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dengan memfailkan saman pemula ini bersama-sama dengan Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini,” katanya.

Ewon dan Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN PH Sabah hari ini memfailkan saman untuk mendapatkan perintah mahkamah agar Kerajaan Persekutuan melaksanakan pembayaran semula hasil persekutuan di Sabah pada kadar 40 peratus seperti dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.

Ewon mengalu-alukan usaha antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk merundingkan hasil 40 peratus tersebut, tetapi berpendapat sesuatu yang lebih tegas perlu diambil oleh para Sabah.

“Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun telah menyatakan sebelum ini bahawa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mempunyai intepretasi yang berbeza mengenai pemberian semula hasil persekutuan di Sabah di bawah Perkara 112 tersebut. Justeru, pihak yang sesuai untuk memberikan interpretasi undang-undang berkenaan perkara ini ialah mahkamah.

“Kita juga ingin memberi mesej kepada Kerajaan Persekutuan bahawa pemimpin-pemimpin Sabah tidak lagi boleh dibuli atau diambil mudah oleh mereka. Sudah tiba masanya perkara ini diputuskan secara tuntas dan tidak dibiarkan tergantung begitu sahaja,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan juga gagal menjelaskan kepada rakyat Sabah jumlah sebenar pungutan hasil persekutuan di Sabah dan melalui tindakan mahkamah yang diambil hari ini, Kerajaan Persekutuan akan mendedahkan kepada mahkmah jumlah tersebut.

“Kita berharap mahkamah akan memberikan penghakiman dan seterusnya perintah agar Kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab perlembagaan mereka kepada Sabah. Saya menolak jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Persekutuan sebelum ini bahawa pemberian semula hasil 40 peratus tidak lagi terpakai,” katanya.

Dalam sidang Dewan Rakyat yang lepas, Menteri Kewangan Persekutuan Tengku Zafrul Aziz menyatakan bahawa pemberian hasil 40 peratus kepada Sabah tidak lagi terpakai kerana ada persetujuan baharu yang telah dicapai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles